PETALING JAYA: Penyanyi, Sufian Suhaimi menafikan spekulasi kononnya dia sedang hangat bercinta selepas sebuah video yang dimuat naik pengacara, Neelofa tular di media sosial, baru-baru ini.
Sufian berkata, ketika ini, dia tidak terlalu memikirkan soal pasangan hidup dan lebih memberi fokus kepada karier, keluarga serta perniagaan.
“Bukanlah tidak mencari, cuma mungkin tidak terlalu bersungguh-sungguh. Fokus saya sekarang lebih kepada kerjaya seni, keluarga dan perniagaan.
“Mungkin apa yang ada ketika ini membuatkan saya tidak terlalu memikiran tentang mencari pasangan.
“Fitrah manusia mahu hidup berpasangan dan mungkin itu menyebabkan ramai hairan apabila saya masih solo. Ada yang tidak percaya, cuma jujur, saya masih single,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dakwaan kononnya penyanyi Di Matamu itu sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang gadis tular apabila Neelofa memuat naik video seolah-olah memberi bayangan Sufian sudah berpunya.
Bercerita tentang kerjaya seni, Sufian berkata, dia dalam proses merakamkan lagu baharu yang dijangka bakal dilancarkan, hujung tahun ini.
“Sudah lama saya tidak keluarkan lagu yang mempunyai aura seperti Di Matamu. Tambahan pula, kali ini saya kembali berkolaborasi dengan komposer sama, Sirkhan. Jadi, keterujaan pastinya ada.
“Kalau bercerita mengenai album, perancangan memang ada, cuma perlu disusun dengan baik. Saya juga ada perancangan untuk merakamkan lagu di luar keselesaan dan imej yang sinonim dengan Sufian Suhaimi,” katanya.