KUALA LUMPUR : Penyanyi dan selebriti kontroversi, Ifa Raziah, 46, tidak terkilan apabila menjadi peserta pertama tersingkir dalam program realiti, Terpaling Juara.
Menurut Ifa, selama empat minggu bersaing, dia telah berusaha mempopularkan program baharu siaran TV3 itu dan menganggap, tugasnya kini selesai.
“Selama empat minggu, saya berusaha memperkenalkan program itu. Saya hadap semua kontroversi dan menyerap kata-kata makian serta kecaman netizen.
“Sedikit pun saya tidak kecewa kerana selalu berpegang kepada prinsip, rezeki ada di mana-mana. Namun, saya akui orang tedekat dan mereka yang berada di sekeliling, terutama peminat paling kecewa dengan keputusan penyingkiran itu.
“Mereka tahu, saya telah berusaha dan melakukan yang terbaik. Guru vokal saya pun turut kecewa. Ramai yang nampak saya telah melakukan yang terbaik, khususnya pada minggu lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui, semalam.
Ifa bagaimanapun, positif dan yakin penyingkirannya dalam program tersebut bukan pengakhiran kepada perjalanan kerjaya seninya.
Malah, Ifa berkata, namanya sudah sedia dikenali, selain mempunyai banyak misi dan visi lain dalam urusan kerjaya seninya.
“Tuhan telah takdirkan perjalanan saya dalam program terbabit cuma setakat itu.
“Saya terima dan reda sahaja. Biarlah, banyak rezeki lain yang menanti, insya-Allah,” katanya.
Selain Ifa, peserta lain yang berentap dalam program itu ialah Hazami dan Rahmad Mega. Program itu turut menampilkan tiga bakat baharu iaitu Shaz atau nama sebenar, Shazreen Shaharum, 26; Aqmal Ramdan, 26, dan Aqeesh Aleeya, 18.
Pemenang Terpaling Juara bakal membawa pulang RM100,000, manakala naib juara memenangi RM50,000 dan pemenang ketiga sebanyak RM30,000.
Program itu disiarkan secara langsung setiap Ahad, jam 9 malam dari Studio Sri Pentas, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.