PETALING JAYA: Filem Abang Long Fadil 3 berjaya meraih kutipan RM18 juta selepas 11 hari ditayangkan.
Penerbit yang juga Pengerusi Skop Productions, Datuk Yusof Haslam dalam kenyataan dikongsikan kepada Utusan Malaysia berkata, beliau bersyukur dengan pencapaian filem itu yang berjaya meraih kutipan tinggi dalam tempoh singkat.
“Alhamdulillah, atas sambutan yang memberangsangkan ini. Tinjauan kami di sosial media dan siri jelajah Abang Long Fadil 3, baru-baru ini mendapati, rata-rata yang menonton filem ini adalah mereka yang berkeluarga.
“Saya dan rakan penerbit Astro Shaw, berterima kasih kepada mereka yang menyokong filem ini,” katanya.
Filem komedi aksi arahan Syafiq Yusof itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zizan Razak, Johan Raja Lawak, Maya Karin, Elizabeth Tan dan ramai lagi.
Kutipan terkini filem itu sekali gus bakal meleburkan rekod pernah dicatat Abang Long Fadil 2 yang meraih jumlah kutipan RM18.4 juta. Filem pertama, Abang Long Fadil pula mendapat RM4.5 juta.