Tidak mengandung boleh tingkat risiko kanser ovari

Tidak mengandung boleh tingkat risiko kanser ovari

kanser ovari
Mohamad Nasir Shafiee menjelaskan wanita tidak mempunyai zuriat, tidak mengandung dan menyusukan anak lebih berisiko dapat kanser ovari. (Kanan) Umi berkongsi pengalaman sakit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kanser ovari atau kilang telur antara kanser yang kerap dialami wanita. Malah setiap tahun, sebanyak 1,836 kes baharu membabitkan kanser ovari atau kilang telur dilaporkan di negara ini dan saban tahun meragut 1,175 nyawa pesakit.

Purata usia pesakit kanser ovari ini adalah sekitar 60 sehingga 65 tahun, namun sering kali juga berlaku dalam kalangan wanita lebih muda iaitu kurang daripada 50 tahun. Malah kanser lain seperti endometrium (rahim) dan servik (pangkal rahim) juga semakin meningkat dalam kalangan wanita berusia bawah 50 tahun.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee, berkata, di hospital UKM, fakta menunjukkan wanita yang tidak mempunyai zuriat atau tidak mengandung dan menyusukan anak lebih berisiko tinggi mengalami kanser ovari.

“Ini kerana mengandung boleh meningkatkan hormon progesteron yang dapat mengawal hormon estrogen. Jadi, apabila wanita mengandung, secara tidak langsung ia boleh mengurangkan risiko kanser ovari. Risiko lebih rendah sekiranya wanita menggunakan ubat perancang keluarga.

“Ini kerana apabila mengandung atau merancang melalui ubat, ia akan ‘merehatkan’ ovari serta mengurangkan kadar kerosakan pada sel yang akan mencetuskan pertumbuhan kanser atau sel yang tidak normal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dr. Mohamad Nasir berkata, ovari yang sentiasa ‘bekerja’ meningkatkan kerosakan dan membaik pulih sel, seterusnya meningkatkan risiko pertumbuhan sel tidak normal.

Rawatan penggantian hormon (HRT) boleh meningkatkan risiko kanser endometrium tetapi terdapat sedikit bukti ia boleh menyebabkan kanser ovari.

Gejala yang perlu diperhatikan

Dr. Mohamad Nasir berkata, biasanya tiada tanda tertentu seseorang wanita mengalami kanser ovari tetapi biasanya pada peringkat awal akan berlaku sakit perut terutama di bahagian bawah abdomen, kerap mengalami jangkitan kuman kencing atau perut membesar atau kembung.

“Kanser ini sukar dikesan pada peringkat awal kerana tiada tanda-tanda tertentu atau khas yang boleh dikaitkan dengan kanser ovari, jadi pemeriksaan lanjut perlu dilakukan untuk mengenalpasti punca berlaku rasa tidak selesa pada bahagian abdomen ini.

“Kebanyakan wanita mengalami gejala ringan ini di peringkat awal. Namun, sekiranya kanser sudah melarat ke tahap tiga atau empat, biasanya pesakit akan mengalami usus tersumbat, sesak nafas kerana air busung yang banyak atau air di dalam peparu (pleural effusion). Pesakit mungkin mengalami kuning atau jaundis kerana kerosakan hati selepas sel kanser merebak pada organ itu,” katanya.

Buah pinggang turut berisiko mengalami kerosakan dan menyebabkan pesakit boleh pengsan kerana gangguan elektrolit atau garam badan.

Cegah kanser ovari

Tiada kaedah tertentu yang boleh mencegah kanser, melainkan perlu mengubah gaya hidup seperti mengurangkan berat badan, makan pemakanan lebih sihat dan bersenam.

Justeru, mereka yang berisiko tinggi seperti usia lanjut dan menopaus, mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser, bermasalah kesuburan kerana tidak dapat melahirkan zuriat perlu lebih berhati-hati dengan mengubah gaya hidup masing-masing.

Rawatan

Pesakit perlu menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kanser pada ovari atau membuang organ berkenaan dan menjalani rawatan kemoterapi dengan segera bagi memusnahkan sel kanser.

Bagi wanita yang masih dalam usia reproduktif iaitu masih muda dan ingin memiliki anak, jenis pembedahan mungkin berbeza daripada yang tersebut di atas di mana sebelah bahagian rahim dan ovari dikekalkan sekiranya masih selamat.

“Teknologi untuk menyimpan sebahagian tisu ovari untuk rawatan kesuburan (mendapatkan ovum kelak) sedang dikaji dan diusahakan bagi membolehkan pesakit mendapat zuriat pada masa depan. Namun terdapat beberapa isu terutamanya etika dan penerimaan masyarakat yang masih sedang diperinci.

“Keutamaan kita adalah merawat kanser kerana ia membunuh dan malangnya kanser ini melibatkan organ pembiakan seperi ovari dan endometrium atau kanser rahim. Sekiranya organ ini berpenyakit (tidak normal kerana kanser) agak sukar untuk kita mengekalkannya. Biasanya orang bercakap tentang onco fertility ini lebih kepada kanser lain selain kanser ginekologi seperti leukaemia atau kanser payu dara dan sebagainya yang ingin mengandung kemudian hari,” katanya.

Bagi kanser peranakan, terutamanya masih peringkat awal dan pesakit muda, rawatan sesuai ditawarkan bagi memberikan harapan kepada pesakit untuk mendapatkan zuriat selepas rawatan kanser.

“Setakat ini, beberapa wanita berjaya mengandung dengan kaedah pembedahan mengekalkan kesuburan atau fertility preservation surgery or treatment,” katanya.

‘Saya ada dua tahun untuk hidup’

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Umi, berkata dia kerap mengalami cyst dan ketika menjalani pembedahan membuat sisa endomtriosis serta cyst, doktor mengesan tumor atau ketumbuhan pada bahagian ovarinya lima tahun lalu iaitu ketika dia berusia 38 tahun.

Mengakui terkejut dan sedih apabila keputusan ujian ketumbuhan itu mengesahkan dia mengalami kanser ovari tahap tiga.

“Ketika disahkan mengalami kanser, ibu saya baru sahaja tiga bulan meninggal dunia akibat kanser rahim.

“Doktor menjangkakan hayat saya hanya mampu bertahan dua tahun saja. Saya juga tak sangka, pada usia 38 tahun, boleh juga mengalami kanser seperti orang-orang tua yang selalu kita dengar mengalami kanser,” katanya yang sudah berkahwin tetapi belum memiliki cahayamata.

Umi yang juga seorang peguam berkata, dalam keadaan itu, dia tidak pernah menganggap dirinya mengalami kanser dan hanya memberitahu diri sendiri yang dia hanya mengalami sakit ketumbuhan biasa.

Perkataan mati dibuang jauh-jauh dan Umi lebih bersikap positif. Penderitaannya itu dirahsiakan dan hanya orang tertentu saja mengetahuinya kerana baginya, semakin ramai yang menunjukkan simpati, dirinya akan semakin sedih.

“Suami, adik perempuan saya dan majikan memberi 200 peratus sokongan kepada saya. Saya menjalani pembedahann histerektomi untuk membuang semua organ peranakan saya selain menjalani kemoterapi serta radioterapi. Setiap kali kemoterapi, satu badan sakit dan bisa sampai ke tulang, badan panas dalam dan muntah apabila makan.

“Saya hanya ikut apa sahaja saranan doktor kerana saya tahu dia adalah pakar kepada penyakit yang saya alami ini. Rawatan kemoterapi paling mencabar mental dan fizikal. Pertama kali melihat kepala botak dan muka cengkung dengan berat badan menurun, betul-betul menyedihkan saya. Saya tertekan dan merasakan diri hodoh seperti makhluk asing,” katanya.

Katanya kesan daripada membuang ketumbuhan, dia kini mempunyai stoma iaitu pembukaan lubang di bahagian perut dan tidak dapat bekerja selama hampir dua tahun. Umi berkata pada mulanya, amat sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan najis dikumpul di dalam beg diperutnya.

Gaya hidupnya yang dulu aktif kini berubah seperti tidak lagi dapat berenang kerana takut beg stoma tertanggal di dalam kolam. Bagaimanapun, rupanya ada beg stoma khas untuk aktiviti berenang yang membolehkan Umi berenang kembali.

“Beberapa bulan lepas, saya disahkan bebas dari kanser di mana tumor marker ca125 saya hanya 15. Namun hari ini, saya baru sahaja mendapat pengesahan doktor yang kanser saya telah kembali di mana terdapat tumor berdekatan dengan tempat tumor yang telah dibuang sebelum ini,” katanya tabah berdepan dugaan hebat itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya