PETALING JAYA: Pelakon popular Indonesia, Fedi Nuril menghormati keputusan rakannya, Laudya Cynthia Bella yang mengumumkan pengundurannya daripada dunia seni, baru-baru ini.
Jelas Fedi, sebagai rakan seindustri, dia menyokong apa sahaja keputusan yang Bella rasakan terbaik untuk dirinya.
“Apapun yang buat dia tenang, sebagai teman, saya menyokong keputusannya. Kali terakhir kami berlakon sama, dia sudah meletakkan syarat untuk tiada adegan bersentuhan.
“Semoga dia bertemu ketenangan dan kebahagian dalam apa sahaja yang dilakukan selepas ini,” katanya yang bergandingan dengan Bella menerusi francais filem fenomena, Surga yang Tak Dirindukan sebagai suami isteri.
Fedi ditemui ketika majlis tayangan perdana filem Staria Dewa: Gatotkaca di sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur, kelmarin.
Filem terbitan Satria Dewa Studio itu bakal ditayangkan di pawagam tempatan bermula esok dan dibintangi barisan pelakon handalan seperti Rizku Nazar serta Yayan Ruhian.
Naskhah yang diangkat daripada kisah legenda negara republik itu mendapat sentuhan pengarah prolifik, Hanung Bramantyo.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada Bella ada menghubunginya untuk memaklumkan hasrat bersara, Fedi berkata;
“Tidak ada. Sekalipun datang minta pendapat, saya hanya akan cakap, buat sahaja apa yang membuatkan dia baik, gembira dan tenang.”
Bella dalam satu kenyataan yang dihantar kepada pihak media di Indonesia, baru-baru ini memaklumkan, sudah lama merancang untuk bersara daripada dunia seni. Dia juga memohon peminat terus mendoakan agar dia berjaya dalam kehidupan.