KUALA LUMPUR : Pelakon dan pelawak popular, Zizan Razak, 38, mengakui semakin menitikberatkan soal penjagaan kesihatan untuk memastikan dirinya sentiasa bertenaga bagi melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan.
Menurut Zizan, sebelum ini, dia lebih mengutamakan kerja dan tidak terlalu mengambil berat aspek kesihatan hingga tindakannya itu memakan diri.
Katanya, tidak ramai yang tahu dia pernah berdepan dengan masalah anxiety (kebimbangan melampau) dan terpaksa menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
“Jagalah kesihatan. Saya dulu bekerja terlalu kuat, meletakkan komitmen kerja mengatasi segala-galanya hingga tidak cukup rehat dan tidur. Akhirnya, kesihatan semakin merosot.
“Rambut saya gugur disebabkan tidak cukup tidur. Ini perkara betul. Saya pernah mengalami anxiety, tetapi saya tidak ceritakan pada orang apa yang saya lalui. Saya pergi IJN buat pemeriksaan dan doktor nasihatkan supaya banyakkan berehat.
“Betullah orang cakap, duit ada banyak pun tidak guna kalau sakit. Bila jadi begitu, saya kini lebih pentingkan soal penjagaan kesihatan,” katanya.
Susulan itu, pelakon filem Abang Long Fadil 3 ini semakin selektif sebelum memberikan kata persetujuan untuk menerima sesuatu tawaran.
“Saya tidak nafikan kalau ada yang kata, sekarang saya memilih kerja. Saya kena buat begitu, malah saya juga menekankan waktu kerja. Ada ketika saya sedia bertolak ansur, tetapi kalau boleh selesai awal, saya akan balik untuk berehat.
“Saya perlu kekalkan disiplin dengan menjaga waktu tidur dan rehat. Saya ada suarakan hal ini kepada penerbit atau pengarah kerana tidak mahu bekerja sehingga terlalu lewat. Kalau sakit nanti, saya akan susahkan dan ganggu kerja orang lain.
“Kalau ada yang tidak boleh terima waktu bekerja saya, tidak mengapa. Saya sentiasa percaya ada rezeki lain akan datang,” katanya.
Berkongsi mengenai filem terbaru arahan Syafiq Yusof, Zizan memuji usaha yang dilakukan pengarah itu yang dianggap mampu mencapai tahap filem antarabangsa.
Dia bagaimanapun, mengharapkan semua pihak menghargai hasil kerja anak seni dan penggiat di belakang tabir dengan terus menyokong filem tempatan.
“Terus-terang, ketika saya tengok trailer, saya mengalirkan air mata. Saya terkenangkan betapa penatnya kami berusaha menjadikan filem ini sebagai naskhah yang berkualiti dan terbaik buat penonton.
“Banyak cabaran yang dilalui, termasuk mengalami kemalangan ketika memandu pulang daripada penggambaran kerana terlalu penat dan mengantuk. Tetapi, semua itu berbaloi jika peminat datang dan sokong filem ini di pawagam.
“Ini adalah hasil kerja keras semua yang terlibat dalam pembikinan Abang Long Fadil 3,” katanya.
Filem terbitan Skop Production dan Astro Shaw ini akan memulakan tayangannya pada 8 September ini.