Berkecimpung dalam dunia lakonan sejak 16 tahun lalu, Keith Foo, bagaimanapun menganggap jurang perbezaan kaum tidak pernah menjadi isu jika seseorang artis atau pelakon itu pandai membawa diri dan tahu hala tuju dalam industri.
Kata Keith, dia memegang dua prinsip utama yang mampu mengekalkan dirinya dalam industri seni kreatif tempatan iaitu disiplin dan hormat-menghormati.
“Melayu atau tidak, cabarannya sama saja. Peganglah kepada dua perkara pokok ini, disiplin dan hormat. Kalau tidak ada dua prinsip ini, setinggi mana pun terbang, kita akan kembali semula ke bawah kalau tak pandai bawa diri. Tak kisahlah pelakon Melayu atau kaum lain.
“Ada yang kata, senang pelakon bukan Melayu untuk menyinar dalam bidang ini kerana mudah dapat perhatian. Bagi saya, itu bukan jaminan. Orang akan tengok pada bakat juga.
“Kalau betul mahu serius dalam bidang ini, kena terus belajar dan asah bakat. Jika memang ternyata bagus, peluang akan datang dan kesempatan itu sama rata, tiada beza,”katanya.
Sering diberi peranan memegang watak Melayu dan beragama Islam dalam drama tempatan, Keith tidak kekok menggalas tanggungjawab itu.
Malah, katanya, dia berbangga diberi peranan itu kerana secara tidak langsung, dapat mempelajari agama Islam dengan lebih baik.
“Biarpun asalnya berlakon, tetapi ia mengajar saya supaya lebih menghormati agama Islam. Kalau kawan-kawan bukan Islam tanya, sekurang-kurangnya saya boleh tolong jawab dan terangkan apa yang mereka kurang faham.
“Bila sudah faham, ia membuatkan diri lebih hormat pada orang lain dan secara tak langsung, kita juga menjadi insan yang lebih baik,”katanya. – PANCAINDERA