The Sara Sisters sering dianggap kembar - Utusan Malaysia

The Sara Sisters sering dianggap kembar

The Sara Sisters
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA LUMPUR : Membuat kemunculan sulung dengan jenama The Sara Sisters sebagai tanda pengenalan, kumpulan baharu yang bernaung di bawah syarikat Rocketfuel Entertainment ini semakin meraih perhatian peminat.

Bagaimanapun, masih ramai yang keliru dengan identiti Sara Jasmin, 27, Sara Alia, 22, Sara Aqila, 21, dan Sara Qaleesya, 20, hingga disangkakan sebagai kembar empat memandangkan masing-masing memiliki rupa paras yang hampir serupa.

Tampil menjelaskan perkara itu, Sara Alia mewakili kumpulannya berkata, pandangan sedemikian seringkali diterima mereka, namun mengaku tidak sedikit pun tersinggung dengan salah faham yang berlaku.

“Ramai yang menyangka kami adalah quadruplet atau kembar empat kerana memiliki raut wajah yang seakan-akan sama. Namun, hakikatnya setiap kami dilahirkan pada tahun yang berbeza.

“Walaupun mempunyai rupa yang dikatakan seiras, masing-masing memiliki berperwatakan yang berbeza.

“Saya suka berjenaka, manakala Sara Jasmin lebih prihatin, Sara Aqila pula seorang yang happy-go-lucky, dan Sara Qaleesya mempunyai keyakinan yang tinggi,” katanya.

Sara Alia juga tidak menolak, kemungkinan keistimewaan yang dimiliki mereka itu menambat hati Rocketfuel untuk menyunting sebagai artis rakaman.

“Alhamdulillah, kami mara selangkah lagi apabila Rocketfuel sudi menyunting menjadi artis naungan mereka.

“Semuanya bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada tahun 2020 apabila kami sering menghasilkan video cabaran tarian di TikTok dan mendapat banyak tanda suka sehingga mula dikenali ramai,” katanya.

Berkongsi mengenai single berjudul Stars, kata Sara Qaleesya pula, mereka menaruh harapan agar lagu tersebut berupaya menambat hati peminat dan pendengar muzik tanah air.

Malah, Stars juga diharapkan menjadi batu loncatan buat mereka untuk terus mengukir nama dalam bidang seni muzik, selain bersaing secara sihat dengan artis baharu lain.

Tambahnya lagi, The Sara Sisters juga bersyukur kerana bakat mereka diintai oleh jenama tempatan untuk mempromosikan produk sebagai duta.

“Kalau boleh, kami mahu memberikan fokus pada bidang nyanyian terlebih dahulu sebelum mencuba bidang lain seperti lakonan atau pengacaraan.

“Sebagai kumpulan empat beradik yang pertama di Malaysia, kami akan buktikan pada semua kami juga mampu memberi saingan sihat kepada  kumpulan wanita  sedia ada,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya