KUALA LUMPUR: Pelakon cantik, Tania Hudson reda dengan keadaan dirinya yang diuji dengan masalah kesihatan disebabkan menghidap penyakit Arteriovenous Malformation (AVM) iaitu pengumpulan saluran darah secara tidak normal dalam otak.
Kata Tania, dia bersedia untuk berdepan apa juga keadaan dan hanya mampu bersikap positif terhadap sebarang kemungkinan yang bakal berlaku pada masa akan datang.
“Pada 2019, saya pernah diserang penyakit strok dan terpaksa menjalani pembedahan untuk pulih. Pada 2020, saya diserang penyakit lain, juga berkaitan otak dikenali Cerebral Cavernous Malformations (CCM). Alhamdulillah, selepas melakukan saringan, doktor mengesahkan ia telah mengecut.
“Saya sedar akan terus hidup dengan masalah ini dan tidak dapat menjangkakan apa bakal berlaku pada masa hadapan. Ia datang dan pergi, sekali gus mengingatkan saya hidup yang kita jalani ini terlalu singkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Apabila ditanya tentang punca penyakit tersebut kembali menyerangnya dua tahun lalu, Tania tiada jawapan.
“Kenapa ia kembali? Saya tidak tahu. Doktor juga tidak dapat menjelaskan puncanya.
“Bagi saya, semua ini adalah kuasa Allah. Jadi, saya reda. Doktor katakan, ia ibarat bom jangka yang boleh memuncak pada bila-bila masa. Saya hanya mampu untuk bersedia,” ujarnya.
Tania yang juga adik kepada pelakon dan model, Natasha Hudson memaklumkan, disebabkan masalah yang dihadapinya itu, dia perlu bekerja lebih keras, terutama apabila berkecimpung dalam dunia lakonan.
“Berlakon memang mencabar, apatah lagi apabila melibatkan kemahiran menghafal dan mengingati skrip.
“Disebabkan masalah yang dihadapi, saya terpaksa bekerja lebih keras dengan melatih diri untuk tidak menghafal (skrip), sebaliknya memahami watak yang dilakonkan. Ia memerlukan banyak latihan,” katanya.