KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Ziana Zain, akhirnya mampu menarik nafas lega selepas konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 melabuhkan tirainya di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi.
Kata Ziana, sejak seminggu lalu dia tidak dapat tidur lena memikirkan perjalanan konsert itu kerana ingin membuat persembahan yang terbaik kepada peminatnya dan Anuar.
Bersyukur dengan sokongan luar biasa yang diberikan peminat setia mereka, Ziana juga terharu apabila kedua-dua ibu bapa dan anak-anaknya turut hadir menyaksikan konsert itu.
Kata Ziana, hatinya cukup tersentuh apabila orang tuanya yang sudah lanjut usia sanggup datang bertemankan dua anaknya, Muhammad Amar dan Muhammad Aiman Armin Zaharin ke konsert berkenaan.
“Hati saya sebak. Dahulu, abah datang konsert unplugged saya iaitu pada tahun 1996 dan juga konsert Ziana Zain In The Park (2001).
“Sokongan dia terhadap anak-anak terlalu kuat. Dia beri semangat kentalnya kepada anak-anak.
“Abah kini berusia 84 tahun dan ibu pula 71 tahun. Mereka datang menonton konsert kami ditemani dua anak saya. Kebetulan pula, Amar dan Aiman tak pernah tengok konsert kami berdua.
“Sokongan yang mereka berikan sangat kami hargai. Abah ada beritahu, dia tidak dapat tidur malam selagi konsert kami belum selesai,” katanya pada sidang media selepas konsert tersebut berakhir.
Kira-kira 2,800 penonton, termasuk peminat dari Singapura memenuhi Dewan Plenary bagi menyaksikan pasangan adik-beradik itu beraksi di atas pentas selepas kali terakhir membuat konsert bersama di Singapura sekitar 12 tahun lalu.
Peminat dihiburkan dengan lagu-lagu popular Anuar dan Ziana seperti Sangkar Cinta, Bila Resah, Puncak Kasih, Ketulusan Hati, Mungkin, Menadah Gerimis, Madah Berhelah dan banyak lagi.
Sementara itu, Anuar pula mengakui, sukar untuk membawakan lagu-lagu kakaknya yang menuntut penghayatan dan lantunan vokal secara menyeluruh.
Namun katanya, dia telah melakukan yang terbaik dan berharap peminat berpuas hati serta terhibur dengan persembahan yang diberikan pada konsert berkenaan.
“Lagu-lagu saya banyak yang mencabar untuk dinyanyikan. Contoh seperti Lelaki Ini dan Cinta Takkan Berakhir sangat sukar untuk dipersembahkan.
“Begitu juga apabila menyanyikan lagu Ziana seperti Lembah Asmara, Cinta Di Akhir Garisan dan Sangkar Cinta yang jarang saya nyanyikan.
“Kalau lagu sendiri, saya bersedia kerana selalu saya nyanyikan sejak 15 hingga 20 tahun lalu. Jika muzik, sistem bunyi dan tenaga (penonton) bagus, insya-Allah kita boleh berikan persembahan yang terbaik.
“Malam ini sangat mencabar, namun harapan saya, kami telah berikan persembahan yang terbaik untuk semua peminat,” katanya.