Sangeeta tekad kuasai pelbagai bahasa

Sangeeta tekad kuasai pelbagai bahasa

sangeeta
Sangeeta berhasrat mempelajari pelbagai bahasa asing kerana ia membuka peluang dalam industri perfileman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memulakan langkah dalam industri hiburan dengan membintangi produksi drama Tamil, Sangeeta Krishnasamy menyifatkan dirinya bertuah apabila semakin mendapat perhatian penerbit produksi Melayu.

Lancar bertutur bahasa kebangsaan, tambahan pula memiliki raut wajah yang manis, kelebihan itu membuatkan figura ini menjadi ‘rebutan’ penerbit dan pengarah tempatan.

Menitipkan rasa terharu dengan kepercayaan yang diberikan, bintang Adiwiraku itu mendedahkan sejak kecil lagi dirinya mempunyai ramai rakan Melayu.

Sangeeta yang menerima pendidikan di sekolah kebangsaan mengakui, bahasa Melayu menjadi antara subjek kegemarannya, membuatkan dia selesa dan sangat lancar bertutur dalam bahasa kebangsaan.

“Sekarang saya sudah lupa bahasa Tamil (gelak). Bila saya membesar, semua rakan baik saya adalah orang Melayu kerana saya bersekolah di sekolah kebangsaan.

“Jadi, saya tidak rasa kekok, malah lebih selesa apabila bertutur bahasa Melayu,” katanya yang turut meminati subjek bahasa Inggeris ketika di bangku sekolah.

Wanita berusia 36 tahun itu berkata, pelakon perlu mempelajari dan menguasai pelbagai bahasa kerana ia dapat membuka ruang dan peluang untuk mereka berkolaborasi dengan produksi antarabangsa.

“Kali pertama terbabit dalam produksi Tamil, saya sangat terkejut kerana kebanyakan mereka tidak fasih berbahasa Melayu. Bagi saya, kita perlu mempelajari banyak bahasa.

“Di Hollywood misalnya, kebanyakan pelakon sangat lancar berbahasa asing. Mereka sanggup belajar kerana tuntutan karakter. Apabila mahir pelbagai bahasa, banyak peluang yang kita akan peroleh. Secara tidak langsung, kita membuka lebih peluang untuk diri sendiri,” tuturnya.

Bintang filem politik Rise: Ini Kalilah berpendapat, pelakon yang menguasai pelbagai bahasa dapat meningkatkan nilai pasaran mereka kerana ia membuka peluang untuk melangkah lebih jauh menerusi naskhah luar negara.

Sangeeta turut memaklumkan, dia kini mahu mempelajari dua bahasa asing lain.

“Bahasa sangat penting. Sejak belum menjadi pelakon, saya belajar bahasa Perancis. Sekarang, saya hendak belajar bahasa Mandarin dan Sepanyol kerana banyak terdedah dengan karya pelbagai bahasa.

“Mana tahu nanti berpeluang berkolaborasi dengan pelakon luar negara,” ujarnya.

Seronok bawa watak komedi

Bagi yang mengikuti perkembangan kerjaya lakonan bintang tinggi lampai ini, pastinya perasan dia banyak memainkan watak komedi menerusi drama dan sitkom sejak beberapa tahun ini.

Terbaharu, Sangeeta ‘dilamar’ pengarah tempatan bagi menjayakan filem seram komedi, Don Dukun, terbitan Infinitus Productions dan Astro Shaw serta diarahkan oleh Waan Hafiz.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini saya banyak dapat watak komedi. Saya tidak tahu kenapa. Bagaimanapun, dari mula berlakon lagi, saya lebih suka kepada produksi komedi. Saya seronok melakonkan watak komedi.

“Dalam keluarga, saya dianggap sebagai ‘penghibur’. Kelebihan itu datang secara semula jadi, membuatkan saya tidak mempunyai masalah apabila diberikan watak komedi,” katanya.

Dedah pelakon sitkom Spanar Jaya X itu, cabaran membawa watak komedi berbeza jika hendak dibandingkan dengan genre lain yang pernah dilakonkan.

Dia bagaimanapun mengakui, bekerja dalam pasukan produksi yang bagus secara tidak langsung memudahkannya melunaskan watak yang diberikan.

“Watak komedi ini lebih mencabar dan ia memerlukan kerjasama berpasukan. Tanpa pasukan kerja yang bagus, sukar untuk kita menjayakannya.

“Kita perlu peka dengan persekitaran. Saya tidak pernah memasuki kelas komedi, sebaliknya banyak belajar di set penggambaran. Ramai menekankan mengenai timing supaya lakonan komedi dipersembahkan mantap,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya