PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Ammar Titan sedih dengan realiti dilalui oleh artis yang kurang popular apabila terpaksa bersendirian berjuang membela nasib, biarpun mereka berbakat besar.
Ammar berkata, dia sudah jemu berdepan realiti itu, malah terpaksa lantang bersuara menuntut hak penggiat seni yang kurang bernasib baik itu supaya dibayar harga setimpal dengan pengalaman dan bakat yang ada.
Katanya, situasi itu berbeza buat artis popular, terutama mereka yang mempunyai paras rupa dan berpenampilan menarik kerana mampu hidup mewah disebabkan menerima bayaran mahal serta setimpal.
“Artis yang cantik, kacak dan popular berkongsi mengenai rumah baharu besar, kereta mewah besar, serta jam mahal. Bayaran depa (mereka) mahal.
“Artis biasa suam-suam kuku pula, berkongsi fasal menentang harga yang berbaloi dengan pengalaman dan bakat. Kena ‘fight’ tau! Sedih! Sangat sedih!
“Kau simpan duit itu masuk poket kau sendiri! Bukan ‘bitter’ tetapi ini realiti. Dan aku dah fed up,” luahnya di Instagram.
Mengulas lanjut perkara itu, pelakon drama komedi Mat Three Four itu turut menzahirkan perasaan kurang senang terhadap pihak yang mengenakan pelbagai permintaan bagi menjayakan sesuatu watak, sedangkan bayaran diterima mereka tidak sepadan.
“Bayar tidak seberapa, tetapi kau punya permintaan suruh buat badan, buat babak aksi dan pakai baju mahal.
“Selain itu, suruh pula membuat ulasan (review) tempat tinggal semasa pengambaran dan makanan. Lepas itu, duit itu semua masuk poket kau?” ujarnya lagi.