KUALA LUMPUR: Resah yang selama ini membelenggu penyanyi baharu, Sophia Zuhri akhirnya berlalu pergi apabila kemunculan sulungnya diterima peminat.
Sophia berkata, sebelum ini, dia dihantui debaran untuk membuktikan kemampuan sebenarnya pada showcase sulung di Hotel Royal Chulan Damansara, di sini , malam tadi.
Kali pertama menyanyikan lagu baharunya secara langsung, penyanyi berusia 18 tahun itu mengakui, gusar memikirkan penerimaan dan reaksi penonton terhadap persembahannya.
“Pada awalnya, saya agak gemuruh untuk berdiri di atas pentas mendendangkan lagu yang saya hasilkan sendiri.
“Saya tertanya-tanya apakah kemunculan saya diterima atau sebaliknya? Namun, melihat reaksi positif penonton, saya semakin bersemangat untuk memulakan langkah dengan lebih serius.
“Persembahan malam ini adalah pengalaman yang tidak akan saya lupakan dan saya ingin berterima kasih kepada semua penonton yang membuat saya selesa di atas pentas,” katanya:
Dalam showcase tersebut, Sophia mendendangkan beberapa lagu baharu ciptaannya seperti Mediocre Love, Against Me, Mimpi-mimpi Ini dan Perfect For You.
Showcase An Evening With Sophia Zuhri dihoskan pengacara sensasi, Fiza Frizzy.
Hadir sama menyaksikan showcase tersebut merupakan penyanyi dan komposer terkenal, Ajai, penyanyi, Black Hanifah, Aliff Iskandar, Aisha Retno, Daniel Chuer dan ramai lagi.
Sementara itu, album sulung anak bongsu daripada empat beradik ini juga dilancarkan secara rasmi, malam tadi.
Album berkenaan yang diterbitkan Inspirasi Entertainment Sdn. Bhd. dan diedarkan Universal Music (M) bakal dipasarkan secara digital, bulan depan