JIKA ada yang perasan, belum pun filem ini masuk ke panggung di Malaysia, Pengabdi Setan 2 : The Communion sudah terlebih dahulu menjadi bahan bualan, terutama dalam kalangan peminat filem seram di media sosial.
Ramai tidak sabar menonton sepenuhnya filem arahan Joko Anwar ini yang terlebih dahulu meraih perhatian menerusi penghasilan karya pertamanya, Pengabdi Setan.
Filem ini bukanlah sepenuhnya karya asli Joko. Ia merupakan versi yang dihasilkan semula mengikut garapannya berdasarkan filem asal yang diterbitkan sekitar tahun 1980-an.
Berkesempatan bertemu pengarahnya dalam temu bual secara maya baru-baru ini, sutradara ini melahirkan rasa bangga dan bersyukur kerana penghasilan filem seram sering kali mendapat sambutan penonton di Malaysia.
Ia antara bukti genre itu mempunyai peminatnya tersendiri, terutama dari rumpun Nusantara memandangkan kebanyakan paparan ‘hantu’ atau entiti berkait rapat dengan cerita masyarakat.
“Kebanyakan filem seram daripada negara serumpun lebih mudah meraih perhatian kerana kita berkongsi cerita masyarakat yang hampir sama. Karakter hantunya juga sama, contohnya di Indonesia ada pocong, di Malaysia juga sama.
“Jadi, ini sangat dekat dengan masyarakat. Saya hasilkan Pengabdi Setan 2 dengan pendekatan itu. Saya mahu membawa penonton seolah-olah sedang menaiki roller coaster sepanjang filem ini.
“Bagi saya, filem seharusnya menghiburkan dan tidak pernah merancang untuk menghasilkan karya yang membuat penonton tegang sepanjang durasi tayangan. Saya tidak mahu membuat penonton seram sehingga tertekan,” katanya.
Disebabkan itu, Joko menerapkan beberapa sisi jenaka supaya penonton tidak tegang dibelenggu jalan cerita hantu sepanjang tayangan.
“Contohnya, menerusi kemunculan Darminah lakonan Asmara Abigail dan Batara (Fachri Albar) pada penghujung filem yang sedang menari. Ia sebenarnya meninggalkan sedikit persoalan.
“Bagi sesiapa yang pernah menonton filem awal dan cakna, saya ada selitkan sedikit pembayang mengenai siapa mereka,” katanya.
Tambah Joko, berbanding filem pertama, Pengabdi Setan 2 berlatarkan lokasi yang lebih terhad iaitu kawasan rumah pangsa.
“Penggambaran dijalankan pada 2020 sekitar rumah pangsa terbengkalai dan ditinggalkan selama 13 tahun.
“Kami sendiri tidak pasti kenapa pembinaannya dihentikan dan lokasi itu sebenarnya tidak sesuai untuk penggambaran filem.Jadi, ada beberapa ruang yang perlu kami perbaiki demi memastikan keselamatan setiap yang terbabit.
“Selain lokasi yang lama dan berbahaya, satu lagi cabaran adalah gangguan perkara ghaib. Jadi, kami sentiasa berdoa supaya proses penggambaran tidak diganggu kejadian aneh dan menakutkan,” katanya.
Ajaran sesat
Dalam pada itu kata Joko, dia turut terpanggil untuk mengangkat isu aktiviti ajaran sesat sebagai inti pati dalam penceritaan filem ini kerana berasakan ada sesuatu yang menarik boleh menjadi kupasan.
“Kumpulan dan aktiviti ajaran sesat dalam dunia ini sebenarnya sangat menarik untuk kita gali. Bagi saya, ajaran sesat adalah bukti pemikiran manusia itu sangat kompleks.
“Kalau kita mencari jawapan menerusi agama, sesetengah orang pula mencari jawapan dari sudut lain. Perkara ini membuatkan saya tertarik untuk meneroka dengan lebih mendalam, seterusnya diterjemahkan dalam bentuk filem. Namun, saya tidak nyatakan dengan jelas kumpulan ajaran sesat yang mana,” katanya.
Selain Joko, turut menyertai sesi sidang media maya itu adalah beberapa bintang utamanya iaitu Bront Palarae, Ratu Felisha, Endy Arfian dan Jourdy Pranata.
Bront yang memegang watak sebagai Bahri Suwono atau Bapak berkata, proses penggambaran sekuel ini berjalan dengan lancar, selain menemukannya dengan beberapa cabaran baharu.
“Pengalaman penggambaran kali ini berbeza dan lebih mencabar kerana lokasi dan pelbagai kelengkapan baharu. Bagaimanapun, prosesnya berjalan sangat lancar memandangkan saya sendiri pernah bekerja di bawah arahan Joko.
“Semua yang terbabit bersatu seperti keluarga dan itu membawa kami menuju fokus sama iaitu untuk memberikan yang terbaik buat penonton,” katanya.
Di Indonesia, Pengabdi Setan 2 berjaya memecahkan rekod apabila menjadi filem dengan jumlah penonton terbanyak pada hari pertama tayangan iaitu 700,000 penonton.
Pengabdi Setan 2 ini mengisahkan mengenai kehidupan keluarga Bahri Suwono yang kini berpindah dan menetap bersama tiga anaknya iaitu Rini, Toni dan Bondi selepas kematian isterinya.
Menetap di rumah pangsa berhampiran pantai, kehidupan keluarga mereka pada awalnya berjalan lancar sehingga berlaku satu kejadian aneh.
Dalam pelarian mencari tempat yang selamat, mereka masih dihantui pengalaman mengerikan apabila berlaku banyak kematian akibat gangguan syaitan.
Situasi itu membuka ruang untuk Rini mencari dan meneroka rahsia di sebalik kehidupan keluarga mereka, terutama bapanya yang membabitkan satu gerakan ajaran sesat.