Setiap pasangan sudah pasti mengimpikan kehadiran zuriat sebagai pelengkap istana yang dibina. Namun, sudah tertulis rezeki, ajal, maut dan jodoh pertemuan semuanya adalah ketentuan yang Maha Esa.
Tidak semua pasangan diberikan rezeki zuriat di awal perkahwinan. Ada yang menunggu bertahun-tahun, malah ada yang berusaha 1,001 cara untuk mendapatkannya.
Itu yang dilakukan pasangan suami isteri, Mohamad Azahari Salleh dan Naseha Sakina Mohd. Jemain yang tidak pernah berputus asa berusaha untuk mendapatkan zuriat mereka.
Mendirikan rumahtangga lapan tahun lalu, Naseha berkata, mereka sememangnya mengimpikan kehadiran ‘malaikat kecil’ itu sejak awal perkahwinan lagi.
Namun, rezeki masih belum berpihak kepada mereka. Malah, wanita asal Perak itu pernah diduga keguguran sebanyak lapan kali dengan kandungan kali kesembilan berlaku di luar rahim.
Kandungan terakhir itu jugalah menyebabkan tiub fallopio di sebelah kanannya terpaksa dibuang.
Naseha yang bekerjaya sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat swasta, mengakui pernah berasa tertekan ketika lima tahun pertama perkahwinan apabila melihat saudara dan rakan-rakan lain dikurniakan cahaya mata.
“Lima tahun pertama memang rasa tertekan. Lebih-lebih lagi rakan dan saudara-mara yang berkahwin sama usia telah dikurniakan dua hingga tiga orang anak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Lebih menyayat hati, selepas insiden kandungan luar rahim yang terjadi kepadanya, dia sebenarnya sudahpun berputus asa untuk memiliki zuriat sendiri sehingga terbit rasa benci terhadap bayi.
“Sejujurnya, selepas insiden kehamilan luar rahim pada Oktober 2019, saya seperti berputus asa. Dengar suara bayi pun rasa menyampah.
“Dengar kawan-kawan hamil, rasa benci dan marah pada diri sendiri. Tetapi, suami tak jemu memujuk. Katanya, jangan berputus asa dengan rahmat Allah. Ada hikmah disebalik ujian. Dia individu yang paling gembira bila saya kata sudah bersedia untuk kembali jalani rawatan. Semua kos rawatan juga ditanggung olehnya,” kongsinya.
Berbekalkan semangat itu, dia kemudiannya mencuba menjalani prosedur rawatan kesuburan Intrauterine Insemination (IUI) pada tahun 2018 namun tetap tidak berjaya dan dalam masa sama dia juga mengalami masalah penyakit sindrom ovari Polisistik (PCOS) yang menyebabkan ovari di sebelah kiri tidak dapat menghasilkan telur.
Jalani IVF
Sedar masih punya ikhtiar lain, suami isteri itu kini mengambil keputusan untuk menjalani pula rawatan persenyawaan in vitro (IVF) di sebuah pusat perubatan.
Berkongsikan pengalaman menjalani rawatan itu, Naseha berkata IVF adalah proses rawatan yang panjang dan memerlukan komitmen tinggi daripada kedua-dua belah pihak.
Sokongan dari pasangan amat penting kerana memerlukan kekuatan fizikal, mental dan juga emosi bagi memastikan emosi sentiasa positif dan fizikal yang sentiasa sihat supaya rawatan berjalan dengan lancar.
“Sepanjang hidup, ini adalah kali pertama perlu cucuk ubat sendiri pada bahagian badan, set penggera untuk pengambilan ubat dalam kuantiti yang banyak.
“Bagi saya, IVF ini ibarat sedang bermain permainan. Keputusan bagi setiap kali langkah rawatan menjadi satu debaran sama ada ‘lepas’ stage itu atau sebaliknya,” jelasnya.
Hal ini kerana katanya, terdapat beberapa peringkat rawatan yang perlu dijalani sebelum persenyawaan dapat dilakukan.
Ia bermula daripada tumbesaran telur, proses mengambil telur yang matang dan sihat, proses persenyawaan, proses memindahkan embrio dan akhirnya keputusan sama ada berjaya hamil atau pun tidak.
Naseha bagaimanapun bersyukur kerana ketika ini dia sudah berada di fasa kedua terakhir dan telah melakukan proses pemindahan embrio beberapa hari lalu.
“Kami harus sentiasa positif, berharap dan tawakal atas usaha yang dilakukan. Selebihnya hanya Tuhan yang menentukan yang terbaik untuk hambaNya,” jelasnya yang menyatakan kos rawatan IVF adalah sekitar RM20,000.
Dia dan suami yang juga seorang Eksekutif Kreatif di sebuah syarikat antarabangsa juga semakin kuat selepas ujian demi ujian diharungi bersama.
“Setelah banyak kali diuji dengan keguguran dan kesukaran meperoleh zuriat, semakin kami diberikan kefahaman oleh Tuhan iaitu manusia merancang, Allah juga merancang.
“PerancanganNya semestinya yang terbaik. Dia tahu masa terbaik dan Dia akan memberikan apa yang hambaNya perlu dan bukan apa yang hambaNya mahu,” jelasnya lagi
Tumpang kasih
Tidak menolak adakalanya kesunyian datang menyapa, bagaimanapun Naseha kata dia semakin serasi dengan keadaan tersebut.
Tambahan pula dia juga ada membela seekor kucing yang sudahpun dianggap seperti anak sendiri.
“Kehadiran anak-anak saudara juga menjadi tempat kami bermanja. Sebenarnya, bersyukur dengan apa yang kita ada tu lebih buatkan kita bahagia daripada merungut dengan apa yang kita tiada,” katanya lagi.
Ditanya mengenai pengambilan anak angkat, wanita itu berkata dia pernah terfikir mengenai perkara itu, namun mendapat tentangan daripada suaminya.
“Kami akur mengambil anak angkat bukan semudah yang disangka. Kami bimbang tidak dapat menggalas tanggungjawab yang sangat besar untuk membesarkan dan menyayangi insan yang bukan dari darah daging sendiri,” ujarnya. –UTUSAN