PETALING JAYA: Pelakon Korea Selatan, Yoo Joo-eun yang dikenali menerusi wataknya dalam Big Forest dan Joseon Survival Period meninggal dunia pada usia 27 tahun.
Berita duka itu disahkan abangnya menerusi akaun Instagram Joo-eun, hari ini.
“Joo-eun telah pergi ke tempat yang lebih baik pada 29 Ogos 2022. Sekiranya anda ada masa, doakan perjalanannya,” tulisnya.
Difahamkan Joo-eun turut menulis nota terakhir dan dimuat naik atas permintaannya di akaun Instagramnya yang telah dinyahaktif.
Mendiang memulakan nota terakhir itu dengan meminta maaf kepada semua insan yang disayanginya, selain menyatakan penghargaan terhadap kasih sayang dan sokongan mereka.
“Saya memang suka berlakon. Mungkin ia segala-galanya buat saya atau barangkali sebahagian daripada hidup saya. Namun, ternyata tidak mudah untuk meneruskannya.
“Saya tidak mahu melakukan perkara lain dan ia sangat menyeksakan,” tulis Joo-eun.
Acara pengebumian akan berlangsung Rabu ini di Ajou University Hospital di Suwon-si, Gyeonggi-do.
Joo-eun memulakan kerjaya lakonannya menerusi watak pembantu dalam drama komedi, Big Forest pada 2018. Namanya memuncak selepas membintangi siri Joseon Survival Period pada 2019.