KUALA LUMPUR : Pengacara dan selebriti media sosial, Noor Neelofa Mohd Noor, 33, bersyukur inisiatifnya menganjurkan majlis ilmu diterima baik golongan artis yang ingin memperbaiki kelemahan diri.
Neelofa berkata, menerusi penganjuran majlis seperti itu, golongan selebriti lebih bebas bertanyakan soalan, sekali gus memudahkan mereka memahami dan melengkapkan diri dengan ilmu agama.
“Saya faham, sebagai insan yang dikenali, kalau menghadiri majlis ilmu yang turut disertai orang ramai, mungkin ada yang segan bertanyakan soalan. Barangkali juga malu kerana kekurangan atau lemah dari aspek ilmu agama.
“Melihat orang lain pandai membaca Al-Quran dan berpengetahuan tentang hadis, mungkin membuatkan mereka berasa rendah diri. Perasaan itu menyebabkan ada yang kurang bersemangat untuk menyertai majlis ilmu lagi.
“Kebetulan saya ada pasukan yang boleh menganjurkan majlis dan mencari khidmat penceramah, apa salahnya saya buat khas untuk rakan artis,” katanya.
Ditemui pada majlis pelancaran kutipan dana di aplikasi TheNoor dan platform ECF, Ethis di MranTi, Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, di sini, Neelofa berkata, dia gembira apabila usahanya itu sentiasa mendapat permintaan daripada rakan artis.
“Belum sempat saya mengajak, mereka terlebih dahulu memberitahu berminat untuk menyertainya. Alhamdulillah, mereka sangat seronok dan itu bermakna misi kami tercapai.
“Saya mesej dan hantar sendiri jemputan kepada rakan artis kerana mahu mereka berasa dekat dan tidak segan,” katanya.
Neelofa juga tidak menolak kemungkinan akan membuka majlis ilmu kepada kelompok yang lebih besar, khususnya kepada peminat dan mereka yang berminat menyertainya.
Dia juga merancang untuk mengadakan majlis ilmu melibatkan pasangan suami isteri selebriti.
“Saya terfikir, kalau ada kemampuan, mengapa tidak menganjurkannya dalam skop yang lebih besar. Saya cadang nak buat untuk orang ramai pula. Tidak perlu bayar, malah sesiapa saja boleh menyertai,” katanya.