Menyesal dulu tidak ambil peduli soal royalti - Zamani - Utusan Malaysia

Menyesal dulu tidak ambil peduli soal royalti – Zamani

ZAMANI bakal menjalani pembedahan memperbaiki struktur tulang pada November depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim, 51, menyesal kerana tidak ambil peduli soal kutipan royalti lagu nyanyiannya sejak awal era 90-an.

Menurut Zamani, andai dulu dia mengambil berat perkara itu, setidak-tidaknya wang diterima dapat membantu menampung keperluan hidup, terutama ketika sedang bertarung dengan masalah kesihatan.

“Saya tidak pasti tentang isu royalti kerana sudah lama tidak ambil. Sekarang, saya bergantung sepenuhnya kepada persembahan pentas sebagai sumber pendapatan utama.

“Mungkin selepas ini, saya akan buat susulan tentang isu ini,” katanya.

Tambah Zamani, dia mengakui kesilapannya  kerana tidak bertindak awal berhubung isu royalti.

“Silap saya juga kerana tidak berdaftar dengan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM). Sebelum ini, pihak RPM ada menghubungi untuk saya jadi ahli, tetapi saya tidak berkesempatan.

“Kalau tidak, dapat juga sedikit pendapatan daripada kutipan royalti. Bukan hanya saya, anggota Slam yang lain pun tidak pernah ambil royalti. Apabila jadi begini (sakit), terasa menyesal juga,” katanya.

Sehubungan itu, Zamani menasihatkan artis, terutama penyanyi baharu supaya mengambil iktibar daripada kesilapan yang dilakukannya dan segera mendaftar dengan RPM.

“Saya sarankan sesiapa sahaja artis baharu, buatlah. Memang nampak remeh, tetapi mungkin esok, kita perlukannya. Bagi saya, ia dapat membantu menampung keperluan hidup,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zamani mengakui, teruja menanti penganjuran konsert Doa Buat Zamani di Zepp KL pada 30 September ini.

Konsert itu kata Zamani, merupakan hadiah buat peminatnya sebelum dia menjalani pembedahan bagi memperbaiki struktur tulangnya pada November depan.

“Niat saya nak buat konsert ini adalah untuk berkumpul bersama peminat sebelum menjalani pembedahan. Saya akan menyanyikan enam lagu solo pada malam itu.

“Secara total, sebanyak 15 lagu bakal dipersembahkan, termasuk nyanyian daripada artis undangan iaitu Fauziah Latiff, Datuk Ramli Sarip dan Rahim Maarof.

“Jangan khuatir, persembahan itu nanti lebih bersifat santai disebabkan kondisi kesihatan. Apa yang penting, saya dapat berkumpul dengan peminat. Itu permintaan saya sebelum jalani pembedahan,” katanya.

Tiket konsert Doa Buat Zamani dijual pada harga bermula RM238, RM288, RM388 dan RM499. Layari www.mytickets.asia untuk maklumat lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya