KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Exists, Mamat, 44, memaklumkan dia masih diletakkan di bawah pemantauan Agensi Dadah Kebangsaaan (AADK) berikutan terbabit dengan penyalahgunaan dadah pada September 2019.
Menurut pemilik nama sebenar Mohd Ali Kamarudin itu, pemantauan itu dibuat AADK cawangan Johor Bahru, sejak awal tahun ini dan dia masih mengikuti program yang dianjurkan agensi terbabit.
“Mereka akan memaklumkan kepada saya menerusi pesanan WhatsApp dan mesej pesanan ringkas bagi membolehkan saya hadir program yang diadakan.
“Saya tidak boleh bebas ke sana sini dan masih menunggu penilaian mereka sebelum dibebaskan. Saya hanya perlu tunggu. Buat masa ini, saya memang tidak boleh untuk ke sana sini,” ujarnya selepas sidang media konsert Resolusi Exists di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, dekat sini, semalam.
Konsert berkenaan akan dilaksanakan pada 18 November ini di Zepp KL.
Mamat juga memberitahu, dia dikehendaki memaklumkan segala hal berkaitan jadual kerjanya kepada AADK.
“Semua maklumat tentang diri dan apa yang berlaku, mereka akan terima secepat mungkin. Itu lebih mudah. Saya pula bukan orang tak kenal.
“Mereka tahu di mana saya tinggal dan di mana saya berada. Saya bagaimanapun, positif mendisiplinkan diri untuk bersih daripada belenggu masalah penggunaan dadah.,” jelasnya.
Selain itu, Mamat juga menyuarakan hasrat untuk membina kehidupan lebih baik dan menyusun atur kerjayanya supaya masa depannya lebih terjamin.
“Saya sudah rancang persiapan untuk masa depan dan mahu simpan cerita peribadi.
“Tapi, saya akur, saya milik masyarakat. Sembunyi macam mana sekalipun, orang tetap akan tahu cerita kita.
“Tumpuan saya adalah kerja. Saya sudah berusia, jadi cuma mahu hidup tenang sahaja,” tambahnya.