Maafkan saya DJ Lin - Fizi Ali

Maafkan saya DJ Lin – Fizi Ali

Fizi Ali kini menyertai Hot FM sebagai penyampai radio.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Hot FM, Fizi Ali, 33, mengakui kesilapannya meninggalkan Suria FM pada saat akhir, bulan lalu namun telah meminta maaf kepada pengurusan stesen radio tersebut.

Menyifatkan isu telah selesai dan tidak lagi perlu diperbesarkan, Fizi berkata, dia mendapat restu daripada majikan lamanya apabila mengambil keputusan menyertai Hot FM.

“Mungkin silap saya juga kerana pergi secara mengejut. Tetapi, tidak adalah saya pergi begitu sahaja kerana saya telah meminta restu mereka sebelum menyertai Hot FM.

“Saya berterima kasih kepada bekas majikan kerana mereka yang memperkenalkan Fizi Ali sebagai penyampai radio. Saya ingat jasa dan sayang mereka semua,” katanya ketika ditemui pada sesi Jom Bekpes Bersama Hot FM di Sri Pentas Bandar Utama, di sini, pagi tadi.

Sesi itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran dan barisan penyampai Hot FM seperti Johan Raja Lawak, Fara Fauzana dan Muhammad Azmir Selamat atau AG.

Nama Fizi kembali diperkatakan apabila Pengurus Besar yang juga penyampai Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin meluahkan perasaan terkilan dengan tindakannya meninggalkan stesen radio itu pada saat akhir.

DJ Lin berkata, Fizi sepatutnya terlibat dengan program Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell bermula 6 Ogos ini dan tindakannya meninggalkan setesen radio tersebut  mengakibatkan Suria FM menanggung kerugian sehingga RM50,000.

Mengulas mengenainya, Fizi berkata, dia enggan memanjangkan  lagi perkara itu  kerana semuanya telah diselesaikan dengan baik.

“Apa yang berlaku ini di luar bidang kuasa dan saya telah meminta maaf. Saya sudah selesaikan bahagian saya dan kalau ada yang terasa, saya minta maaf sekali lagi,” ujarnya.

Fizi juga menafikan, keputusannya ‘melompat’ ke stesen radio lain adalah disebabkan mengejar tawaran yang lebih lumayan. Dia sebaliknya memberitahu, keputusan itu dibuat atas dasar ingin mengembangkan skop kerjaya yang lebih luas dan bukan sekadar menjadi penyampai radio.

“Ia bukan tentang bayaran semata-mata.  Tawaran yang saya terima ini bukan sahaja sebagai penyampai radio, tetapi saya juga diberi peluang terlibat dengan kerja pengacaraan di televisyen.

“Ini peluang untuk saya serlahkan nama. Saya mengintai peluang membina kerjaya, bukan populariti. Sudah enam tahun menjadi penyampai radio dan selama ini, saya hanya melakukan rutin yang sama.

“Tetapi, apabila bersama Hot FM, saya diberi peluang untuk mengintai ruang kerjaya yang lebih luas,” tambahnya.

Fizi mengendalikan segmen Hot FM Sembang Squad bersama Fad Bocey yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat, jam 3 petang hingga 7 malam, bermula semalam.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya