KUALA LUMPUR: Penerbit filem Jerangkung Dalam Almari, Raja Azmi menyifatkan, kejayaan produksi itu mencatat kutipan RM1 juta selepas empat hari tayangan sebagai pencapaian besar buat dirinya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Raja Azmi berkata, berita itu adalah sesuatu yang mengejutkan dan di luar jangkaan kerana filem terbitannya sebelum ini tidak pernah menerima sambutan sebegitu..
“Ini adalah filem pertama saya yang berjaya mencecah kutipan sebanyak itu dalam masa singkat. Ia kejayaan besar buat seluruh warga kerja filem berkenaan.
“Saya amat bersyukur dan terharu. Jumlah itu sudah memadai dan saya anggap sebagai pencapaian di luar jangkaan buat syarikat produksi kerdil seperti kami.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada Empire Films yang yang sentiasa bekerja keras dan membantu kami sejak awal lagi. Pujian juga harus diberikan kepada mereka yang tidak pernah berputus asa membawa filem ini ke depan,” katanya. .
Jerangkung Dalam Almari yang ditayangkan sejak 4 Ogos lalu menampilkan nama besar seperti Datuk Adi Putra, Sophia Albarakbah, Hasnul Rahmat, Wan Hanafi Su, Zaidi Omar, Anne Abdullah, Fazlina Ahmad Daud dan Amerul Effendi.
Filem berdurasi 90 minit itu diarahkan sutradara terkenal, Shadan Hashim.
Mengulas tentang sasaran RM7 juta, Raja Azmi tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk mencapai jumlah itu, sebaliknya menyerahkan nasib filem tersebut kepada ketentuan Allah SWT.
“Saya tidak berani mengatakan mampu mencapai jumlah itu, sebaliknya berharap sasaran kami menjadi kenyataan.
“Kalau dapat, Alhamdulillah. Tetapi, kalau sebaliknya, tidak mengapa. Apa yang kami raih sekarang ini sudah menjadi rahmat besar buat kami,” ujarnya.