JAKARTA: Pelakon terkenal Indonesia, Laudya Cynthia Bella, menafikan desas-desus yang bertebaran di pelbagai portal hiburan yang mendakwa dirinya sudah bergelar isteri kepada seorang lelaki dari Asia Barat, baru-baru ini.
Memetik laporan portal MNC, pembantu peribadinya yang dikenali sebagai Rita, menafikan khabar angin yang hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu dan memaklumkan pelakon itu masih solo.
“Saya minta maaf kerana berita ini sangat tidak benar. Semoga kita semua terhindar daripada fitnah,” katanya ringkas.
Beberapa hari lalu, desas-desus mengenai perkahwinan pelakon filem Surga Yang Tak Dirindukan itu timbul selepas tular sebuah video di aplikasi TikTok memaparkan majlis perkahwinan kononnya Laudya dengan seorang kerabat diraja dari Dubai.
Bagaimanapun, wajah kedua-dua mempelai tidak dipaparkan secara jelas menyebabkan ramai yang mempersoalkan kesahihan pernikahan Laudya dan mendakwa video tersebut sebagai palsu.
Laudya sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada September 2017, tetapi bercerai pada Julai 2020.