DALAM keterujaan menanti tarikh konsert sulung mereka yang bakal berlangsung pada 23 Oktober depan, pasangan penyanyi berbakat besar yang juga suami isteri, Ernie Zakrie dan Syamel turut dibelenggu perasaan gementar.
Akur ia adalah saat yang paling ditunggu peminat setia, Ernie berkata, dia dan Syamel cuba untuk tidak membiarkan diri mereka larut dalam kebimbangan dan kerisauan berpanjangan.
Penyanyi Ku Bersuara itu juga menyifatkan, Konsert Syamel dan Ernie : Aku Cinta yang bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur itu sebagai medan yang menguji kekuatan mereka beraksi dalam persembahan berskala besar.
“Konsert ini sepatutnya berlangsung tahun lalu, namun disebabkan beberapa faktor, termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia ditangguhkan. Alhamdulillah, selepas menimbang pelbagai aspek, kami bersama pengurusan sepakat untuk merealisasikannya pada tahun ini.
“Ini masa yang tepat, malah semuanya seperti disusun dengan cantik. Kami dipertemukan dengan pasukan kerja yang memahami, selain tarikh dan lokasi juga bersesuaian membuatkan kami tidak mahu bertangguh lagi.
“Kami ambil peluang ini bagi memenuhi permintaan peminat yang selama ini berharap melihat saya dan suami beraksi dalam sebuah konsert bersama,” katanya.
Memilih Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik, Syamel pula berkata, mereka banyak membuat rujukan dengan menonton konsert artis di dalam dan luar negara, terutama dari sudut persembahan.
“Selain konsert artis tempatan, kami juga banyak menonton persembahan artis luar menerusi YouTube untuk dijadikan inspirasi. Dari situ, kami mengolah dan menterjemahkan idea yang ada dengan cara tersendiri,” katanya.
Penyanyi yang mendaki populariti menerusi lagu Hidup Dalam Mati itu memaklumkan, dia dan Ernie kini mampu menarik sedikit nafas lega apabila proses pemilihan lagu sudah selesai.
Akur proses itu agak rumit, terutama dalam mencari titik persefahaman, dia dan Ernie berterima kasih kepada Aubrey kerana banyak membantu mempermudahkan kerja mereka.
Syamel berkata, proses itu menuntut ketelitian bagi memastikan momentum perjalanan konsert mereka nanti meninggalkan impak kepada penonton.
“Kami cuba mencari keseimbangan antara lagu berat dan rancak. Selain itu, akan ada momen kami beraksi solo, di samping menampilkan beberapa kejutan. Alhamdulillah, satu perkara sudah selesai, cuma dari sudut susunan muzik, ia masih dalam perbincangan,” katanya.
Syamel berkata, pada awal proses pemilihan lagu, mereka kerap ‘bergaduh manja’ bagi mempertahankan idea masing-masing.
“Setiap penyanyi mempunyai kecenderungan masing-masing, begitu juga saya dan Ernie. Memandangkan kami pernah bekerjasama ketika menyertai Duo Star, jadi tidak banyak masalah yang timbul.
“Bergaduh sikit-sikit itu biasalah, terutama untuk mempertahankan apa yang kami inginkan. Alhamdulillah, semua berjalan dengan baik kerana kami sudah faham antara satu sama lain,” katanya.
ABADI KISAH CINTA
Bagi Ernie pula, sikap bertolak ansur dan terbuka menerima idea perlu ada untuk memastikan segala perancangan dapat dilunaskan dengan lancar.
“Kami bermula sebagai penyanyi solo yang mempunyai visi tersendiri. Memang pada permulaan agak sukar untuk menyatukan dua penyanyi yang mempunyai hala tuju berbeza.
“Namun, kami perlu bertolak ansur untuk memastikan konsert ini berjalan dengan baik. Kerisauan itu pasti ada, tetapi saya tidak mahu terlalu memikirkannya. Kami berusaha untuk memberikan yang terbaik pada konsert itu nanti,” katanya.
Menerusi konsert itu, Ernie berkata, dia dan Syamel akan membawa peminat menelusuri perjalanan kisah percintaan mereka menerusi pilihan lagu yang bakal membuai perasaan penonton.
“Ia bukanlah seperti persembahan muzikal, tetapi ada jalan cerita yang kami tampilkan. Kami akan bercerita dalam lagu. Itu kelainan yang kami cuba lakukan.
“Ia bermula dari detik perkenalan sehingga kami berkahwin dan mempunyai cahaya mata. Semua itu kami akan rangkumkan menerusi pilihan lagu pada malam berkenaan,” tuturnya lagi.
Bakal menyanyikan 23 lagu, Ernie memaklumkan, dia dan suami mengikuti kelas vokal bersama Datuk Syafinaz Selamat sejak sebulan lalu.
Menyentuh tentang harga tiket yang bermula dari RM200 hingga RM500, Syamel menyifatkan ia sebagai tanda penghargaan buat peminat yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.
“Kami menawarkan harga tiket yang berpatutan untuk membina kepercayaan peminat terhadap kemampuan kami di pentas besar. Namun, mutu persembahan kami tidak sesekali bersandar pada harga tiket.
“Kami akan pastikan persembahan kami nanti memberikan kepuasan maksimum kepada semua yang hadir. Itu keutamaan saya dan Ernie,” katanya. – UTUSAN