Kecintaan Pa’din Musa pada papan selaju tidak bertepi

Kecintaan Pa’din Musa pada papan selaju tidak bertepi

Pa’din Mus
Aksi melakukan frontside 180 nosegrind. GAMBAR Ihsan: Mohd. Azim Nong, Jurufoto rasmi Vans Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengabdikan diri dalam arena sukan papan selaju sejak berusia 14 tahun sesungguhnya membuahkan hasil kerana kini dia dikenali sebagai legenda papan selaju negara malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa namanya sebaris dengan legenda papan selaju dunia seperti Rodney Mullen dan Tony Hawk.

Empunya diri Ahmad Fadzil Musa atau lebih dikenali sebagai Pa’din Musa, 46 adalah sebuah nama dan figura yang cukup penting dalam dunia papan selaju bukan sahaja dalam malah luar negara.

Beliau mengejutkan dunia apabila berjaya memenangi dua pingat emas pada Kejohanan Sukan Lasak Asian X Games 2000 di Phuket, Thailand dan kejohanan sama pada tahun 2004 di Kuala Lumpur dalam usia yang cukup muda.

Lebih manis apabila sebuah syarikat jenama kasut antarabangsa Vans mengeluarkan kasut signature Vans Pa’din Musa pada tahun 2017 sekaligus menjadikannya sebagai rakyat Malaysia pertama bekerjasama dengan syarikat gergasi tersebut ketika itu.

Sejak itu, kehidupan anak jati Pulau Pinang ini berubah total, beliau dilihat sebagai individu penting dalam pembangunan sukan ekstrem papan selaju negara sebagai seorang usahawan dalam sektor pembinaan.

Rutin harian di bengkel motosikal
Kini, anak kepada pasangan Musa Samad dan Rubiah Yusoff (kedua-dua allahyarham) ini, memilih menjalani hidup di dalam liganya yang tersendiri dengan menyifatkan rutin hariannya masih ‘liar’ dan bertenaga seperti dahulu biarpun usianya hampir menginjak ke angka ‘lima siri’.

“Kehidupan terkini banyak dihabiskan di bengkel motosikal kerana saya amat meminati kerja mereka dan membina, atau lebih tepat mengubah suai motosikal custom yang saya usahakan sejak enam tahun lalu.

“Jika tidak terlibat dengan projek pembinaan taman papan selaju (skatepark) sekitar negara, saya akan berada di bengkel, melakukan kerja pengubahsuaian motosikal.

“Kerja ini lebih kepada hobi dan bukannya perniagaan kerana kebanyakan orang salah faham tentang hal itu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di bengkel Abah & Sons miliknya di Kepala Batas, di sini baru-baru ini.

Projek skatepark
Menurut anak ketiga daripada tujuh beradik ini, pada tahun 2003, dia telah menubuhkan sebuah syarikat iaitu Climax Rampmaster Ent. untuk membantu membina fasiliti skatepark dengan memberikan perkhidmatan reka bentuk dan konsultasi.

“Antara projek terlibat termasuklah Taman Cabaran Putrajaya, Skatepark Taman Metropolitan Batu, Kuala Lumpur, Bintulu Skateplaza, Sarawak dan beberapa buah skatepark Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Malah, kami turut terlibat dalam pembinaan skatepark mudah alih untuk kegunaan acara sukan ekstrem,” katanya yang memiliki Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Pembuatan) Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.

Setelah berkecimpung dalam bidang reka bentuk dan konsultasi skatepark selama hampir 15 tahun, beliau melebarkan sayap dengan menubuhkan syarikat PH Skatepark Sdn. Bhd. pada 2017 dengan mengembangkan peranan syarikat kepada konsep reka dan bina (design and build) bagi mengatasi masalah dihadapi semasa pembinaan skatepark oleh kontraktor yang tidak mengikut kaedah pembinaan skatepark yang betul dan juga disifatkan ‘tiada jiwa’ dalam pembinaan skatepark.

Luncur sampai tak larat
Mengenai pembabitan dalam skateboarding, Pa’din menjelaskan beliau belum bersara kerana menyifatkan dirinya masih bersemangat dalam arena lasak itu.

“Orang kata main sampai tak larat walaupun kini sudah ada tujuh orang anak sebab bagi saya hidup skateboarder, bukan hanya bermain di skatepark, tapi lebih kepada di jalanan seperti kaki lima ataupun luar dari skatepark. Di mana ia dikelilingi pelbagai risiko yang tak terduga sehinggalah tercetusnya adrenalin sebenar,” katanya yang masih bernaung di bawah Vans Malaysia sebagai peluncur tajaan sejak 2010.

Kini, selain mengusahakan perniagaan pembinaan skatepark, beliau turut mengeluarkan produk papan selaju versinya dan dijual di kedai papan selaju tempatan dalam edisi terhad.

“Untuk keluaran terhad papan selaju versi Abah & Sons pada Disember 2021, ia habis dijual dalam masa seminggu. Saya buat hanya 400 unit,” katanya.

Pa’din turut giat mendokumentasikan perjalanan hidupnya sebagai skateboarder melalui penghasilan video berdurasi pendek untuk dikongsi bersama pengikutnya di aplikasi Tik Tok dan Instagram masing-masing seramai 123,400 dan 133,000 pengikut.

Impian baharu
Impiannya dalam arena sukan papan selaju sudah tercapai, namun kini beliau mempunyai minat baharu iaitu mengubah suai sebuah kenderaan jenis Volkswagen Single Cab menjadi seperti trak pikap yang boleh memuatkan sebuah motosikal untuk dibawa menjelajah ke setiap pertunjukan motosikal sekitar negara sebagai impian baharunya.

“Volkswagen tersebut yang dibeli melalui seorang rakan dua tahun lalu akan diubah suai menjadi seperti pikap custom yang boleh membawa sebuah motosikal di belakangnya, iaitu motosikal Harley-Davidson kepunyaan sendiri yang juga dalam proses pengubahsuaian.

“Ini adalah sentuhan sendiri, selain menyasarkan Volkswagen tersebut akan siap diubah suai dalam masa lapan bulan dari sekarang,” katanya pernah memenangi pertandingan Art of Speed dalam kategori Best of Show pada 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya