KUALA LUMPUR : Penyanyi bertaraf legenda, Datuk Hattan, tidak menyangka apabila mendapat permintaan untuk menyanyikan lagu runut bunyi filem Gadis Jolobu dalam versi bahasa Cina.
Menurut Hattan, permintaan itu datang daripada beberapa pengedar filem itu di China yang menganggap lagu tersebut unik, selain komposisinya mampu mencuri perhatian pendengar di sana.
“Memang tidak sangka juga bila diberitahu ada pihak di sana yang inginkan lagu tersebut dirakamkan dalam versi bahasa Cina. Saya ada tanya penerbit filem itu, Saraleana Natayya Azmi, betulkah mereka mahukan saya menyanyi dalam versi bahasa Cina?
“Maklumlah, saya ini tidak pandai bahasa itu. Tetapi, kata Saraleana, perkara itu tidak menjadi masalah sebab dia ada pasukan yang boleh membantu ketika proses rakaman dijalankan,” katanya.
Hattan bagaimanapun, memaklumkan dia masih belum mendapat kata putus mengenai perkara itu.
Penyanyi yang popular dengan lagu Memburu Rindu dan Biso Bonar itu mengakui, dia tidak dapat membayangkan sekiranya diminta untuk merakamkan lagu tersebut.
“Rasa kelakar jugalah kalau saya yang nyanyikan dalam versi Cina. Kalau ditanya pada saya, biarlah orang lain yang nyanyikan.
“Tetapi, kalau mendapat permintaan dan orang faham apa yang saya nyanyikan, okeylah. Saya sendiri tidak dapat bayangkan bagaimana nanti.
“Saya bagaimanapun, gembira dan berbangga apabila orang luar menghargai dan suka dengan karya muzik kita,” katanya.
Ditanya mengenai responsnya terhadap isu saman yang dikemukakan oleh penerbit filem itu terhadap seorang YouTuber, Hattan memaklumkan, dia tidak mencampuri perkara tersebut.
“Malaslah saya nak komen. Saya tidak ambil tahu isu itu. Biarlah segala urusan diserahkan kepada Saraleana,” katanya.
Saraleana, sebelum ini telah mengesahkan sudah menyerahkan Notis Tuntutan (Letter of Demand) kepada seorang YouTuber pada 11 Ogos lalu. Pengasas Bersama Zebra Studio itu berkata, pihaknya sedang menunggu proses perundangan seterusnya selepas menerima surat balasan daripada peguam YouTuber tersebut.