KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan, 28, sanggup mengeluarkan wang poket sendiri sebanyak RM4,000 semata-mata mahu belajar seni bela diri campuran (Mixed Martial Arts) atau MMA.
Menurut Elizabeth, tujuan utama dia belajar kerana mahu tampil meyakinkan menerusi watak sebagai ejen perisik dalam filem terbaru arahan Syafiq Yusof, Abang Long Fadil 3.
“Memang saya ambil inisiatif sendiri untuk sertai kelas MMA itu. Setahun juga saya ikuti kelas itu. Semuanya kerana saya mahu tampil lebih kemas ketika melakukan aksi-aksi dalam filem itu.
“Pihak Skop Production ada memperuntukkan kelas kemahiran bela diri, tetapi cuma empat hari. Saya fikir, ia tidak mencukupi. Jadi, saya ambil inisiatif sendiri.
“Lagipun, ia filem aksi pertama jadi saya tak mahu memalukan diri. Harap-harap berbaloilah dan lakonan saya dapat meraih keyakinan penonton,” katanya.
Tambah Elizabeth lagi, dia bersyukur mendapat peluang itu kerana sudah lama menyimpan impian untuk melakonkan aksi lasak di layar perak.
“Saya membesar dengan cerita aksi seperti Charlie’s Angles dan Spy Kids. Sejak dulu lagi, saya memang lasak. Apabila dapat peluang berlakon dalam filem ini, ia seperti bulan jatuh ke riba.
“Walaupun badan lebam-lebam akibat melakukan aksi lasak, saya rasa berbaloi. Saya harap selepas ini, ada lagi pengarah atau penerbit yang akan tawarkan watak seperti ini.
“Kalau dikenali sebagai pelakon aksi pun tidak apa kerana saya suka,” katanya.