'Denyut', 'Degup' dua-dua boleh pakai - Ramli Sarip - Utusan Malaysia

‘Denyut’, ‘Degup’ dua-dua boleh pakai – Ramli Sarip

Ramli Sarip.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi legenda, Datuk Ramli Sarip mengingatkan penggiat seni supaya sentiasa bersedia untuk memikul tanggungjawab apabila berdepan polemik yang menjadi perdebatan ramai.

Mengulas mengenai polemik penggunaan perkataan ‘denyut’ dan ‘degup’ dalam lirik lagu Casablanca nyanyian Nuha Bahrin serta Naufal Azrin yang kini hangat diperdebatkan, Ramli berkata, setiap penulis mempunyai tafsiran tersendiri apabila memilih sesuatu perkataan.

“Saya kurang arif dalam hal ini. Tetapi, apabila bercakap mengenai kerja kreatif, jika kita kaji penggunaan bahasa, sebenarnya kita tidak tahu apa rahsia yang dia (penulis lirik) mahu ceritakan.

“Bagi saya, kedua-dua perkataan boleh diguna pakai asal kita tahu tanggungjawab. Kita kena bertanggungjawab. Bila orang tanya, kalau awak boleh jawab, awak jawablah. Yang penting bila orang tanya, boleh jawab.

“Misalnya untuk lirik lagu saya seperti ‘Andai kasturi hilang harum, mawar tak berkuntum’, ia sebenarnya sukar ditafsirkan. Dari segi ejaan pula, saya ingat ia dieja kasturi, tetapi apabila semak ejaannya adalah kesturi,” katanya.

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Bukan Kerana Nama itu mengatakan, semua pihak perlu bersikap terbuka dalam perbincangan isu tersebut dan menerima teguran secara sihat.

“Pada saya, perbincangan ini bersifat sihat dan boleh dihujah secara logik. Ada kala, perkara sikit sahaja boleh jadi isu. Memang orang nak tahu sebab apa? Kadang-kadang ia boleh jadi hiburan murahan dan benda ringan,” tuturnya lagi.

Ramli berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dewan muzik, Malacca Music Hall di Villa d’ Acqua di Masjid Tanah, Melaka, baru-baru ini.

Malacca Music Hall merupakan inisiatif pihak bersendirian dalam usaha mendukung visi dan menyumbang kepada perkembangan pembangunan industri muzik tanah air, khususnya di Melaka.

Ramli turut diberi penghormatan sebagai penyanyi pertama melakukan persembahan eksklusif di dewan terbabit yang dihadiri 150 peminat setianya. Pada persembahan itu, penyanyi lagu Doa Buat Kekasih itu turut memperkenalkan album terbaharu, Rasa.

Album itu memuatkan single Cinta Di Sebalik Musim yang menjadi tema bagi siri Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022 Cinta Di Sebalik Musim yang akan bermula di Johor Bahru pada 7 Oktober depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya