SEJARAH perkaitan muzik rock dengan unsur negatif seperti dadah, seks, arak dan antiagama sangat panjang. Dari awal kemunculannya, muzik sebegini dibenci masyarakat kerana label negatif yang dilekat padanya.
Para rockers generasi terdahulu dah penat melawan. Paranoid masyarakat terhadap muzik yang lahir dari semangat melawan norma ini sentiasa wujud, sampaikan hal rambut panjang atau pendek pun diperbesar ke peringkat nasional.
Pada tahun 2022 ini, label sama masih melekat. Ada kugiran punk yang mahu bikin acara kreatif sedikit di tepi pantai secara terbuka, diugut dengan protes. Kata masyarakat setempat, kugiran ini membawa budaya punk yang melanggar akidah dan berciri liberal. Mereka takut kugiran punk ini bawa budaya teguk arak di pantai Cherating.
Bulan lalu saya pergi ke gig kugiran sama di Kuala Pilah. Selama beberapa jam di gig itu, satu tin arak pun saya tak jumpa. Satu butir dadah pun saya tak nampak. Yang ada ialah hidangan bihun goreng bersama jualan air balang. Hampir juga abang-abang punk di situ menjamah kuih tradisi kampung saya, Apam Johol tapi penganjur lupa nak bawa.
Tentang hedonisme
Ketika muzik rock mendapat tempat di Barat, slogan “drug, sex and rock n roll” jadi popular. Ian Dury & The Blockheads, sebuah kugiran rock malah mencipta sebuah lagu dengan tajuk Sex & Drug & Rock & Roll pada 1977.
Ia kemudian menjadi seakan personaliti kepada pemuzik dan peminat rock di Barat. Gambaran pengambilan dadah, arak dan seks bebas dipaparkan dalam video muzik. Dalam temu bual, ada yang berbangga dengan gaya hidup penuh bebas sebegitu.
Namun, slogan itu bukan baharu. Sebelum wujudnya rock n roll, ada slogan “wein, weib und gesang” dalam bahasa Jerman atau dalam bahasa Inggerisnya, “wine, women and song”. Slogan ini boleh dijejak sehingga dekad 1770-an. Ketika ini belum ada The Beatles, Black Sabbath mahupun No Good.
Tiga unsur ini – arak, perempuan dan lagu atau selepas itu dadah, seks dan rock n roll – ialah kandungan utama hedonisme. Ia tidak eksklusif kepada muzik berakar dari rock semata-mata. Hedonisme boleh ditemui dalam lagu balada, hip hop, pop mahupun nasyid kontemporari.
Begitu juga pesan-pesan ke arah kebaikan. Ia boleh ditemui dalam semua genre lagu. Sebab itu ramai mat rock kapak mudah insaf bila dah tua. Lagu rock kapak dulu banyak unsur kemanusiaan dan keagamaan yang diselit di celah-celah jeritan gitar utama.
Jadi personaliti
Kalau mahu cari salah, kita boleh tuding pada semua pihak. Masyarakat yang menghukum semberono, pemuzik dan peminat yang mempromosikan gaya hidup tidak sihat. Namun yang lebih penting, kita ambil bahagian masing-masing untuk memperbetul sangka jahat.
Betul, bukan masyarakat sahaja yang bersalah dalam hal ini. Paranoid timbul apabila ada kesimpulan pramatang dilakukan. Kalau kita boleh kurangkan kemungkinan wujud kesimpulan pramatang itu, lebih bagus.
Ada pemuzik yang bangga bercerita tentang dadah. Bawa bong ke hulu ke hilir macam itu personaliti dia. Ada juga peminat yang asal pergi gig, mahu seronok lebih dari sekadar melayan muzik, jadi dia bawa arak masuk festival. Ada yang jadikan lapangan muzik sebagai tempat mencari mangsa seks. Habis semua perempuan dia nak cuba ajak masuk bilik tidur.
Ramai remaja masuk ke lapangan dengan niat mahu buat sesuatu dalam dunia muzik. Ada yang mahu jadi pemuzik, ada yang belajar ambil gambar, ada yang suka rakam Dadah, seks bukan rock n roll video. Ada yang bernasib baik, terus bertembung dengan komuniti yang bersih. Tidak jadikan dadah, arak atau seks sebagai gaya hidup. Ada yang malang, berjumpa sebaliknya.
Sebab itu ada ibu bapa yang berat hati mahu benarkan anak-anak mereka meneroka dunia muzik. Takutkan unsur-unsur buruk sebegini mempengaruhi anak mereka.
Berhenti pukul rata
Buat ibu bapa percayalah, tidak semua komuniti muzik sikapnya buruk sebegitu. Malah, dalam komuniti ini, ada orang yang serius mahu bangunkan muzik dan boleh bantu anak-anak anda mencapai impian tanpa melibatkan setitis arak mahupun dadah. Banyak contoh yang sudah saya jumpa.
Pendirian saya, pukul rata ini produk akal yang lemah. Kalau mahu cakap muzik independen membawa pengaruh dadah, arak dan seks, saya berhujah bahawa ketiga-tiga unsur negatif ini ada juga dalam mana-mana lapangan muzik, malah dalam mana-mana bidang sekalipun. Kawalan kendiri individu yang akan mainkan peranan dan sudah ramai yang berjaya tanpa perlu mengotorkan hidup mereka dengan unsur-unsur buruk ini.
Buat mereka yang melihat pengamalan unsur negatif ini sebagai kebanggaan, berhentilah jadi bodoh. Ada ramai pemuzik lain yang tidak merangkul gaya hidup bebas anda dan mereka juga mahu cari makan.
Kebanggaan bebal anda hanya menyukarkan hidup pemuzik lain. Sangka buruk masyarakat tidak akan terpadam dan lapangan muzik akan terus dilihat sebagai tabu serta buruk. Orang nak buat gig pun susah.
Dadah, seks bukan rock n roll. Rock n roll itu muzik dan semua orang berhak menikmati muzik, termasuk mereka yang memilih untuk menjalani kehidupan bersih tanpa dadah, arak dan seks bebas.