Comeback yang berbaloi – Boboy

Comeback yang berbaloi – Boboy

BOBOY menanti 17 tahun untuk kembali bergabung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN mudah sebenarnya untuk mereka kembali bersatu di atas pentas. Hampir 17 tahun lamanya mereka ‘terpisah’. Masing-masing mencari rezeki sendiri yang mungkin tidak datang dari pentas seni, sebaliknya kerjaya lain.

Namun, pentas Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell menjadi saksi, mereka bersatu atas satu tujuan, menyalakan semula obor perjuangan seni Boboy yang pernah terpadam suatu ketika dahulu.

“Ini persembahan pertama kami selepas comeback. Memang risau sangat kerana sudah 17 tahun menunggu. Alhamdulillah, berbaloi. Saya dan anggota Boboy yang lain terharu. Bergenang air mata ini.

“Kalau nak cakap gementar, memang gugup untuk naik pentas. Macam mana kalau tak ada yang bersorak? Macam mana kalau orang buat tak kenal, tak tahu lagu kami? Itu yang saya risaukan,” kata vokalisnya, Naqiu.

Realitinya, peminat bersorak tatkala satu persatu anggota Boboy mula menaiki pentas. Bergema satu Paradigm Mall, Johor Bahru apabila Naqiu, Shah (gitar), Muz (gitar), Didie (bass) dan Acik (dram) memulakan persembahan.

Setiap patah lirik lagu dilontarkan peminat mengikut nyanyian Naqiu. Ternyata, mereka punya pengaruh yang masih utuh, biarpun sudah 17 tahun tidak beraksi.

Menggalas tanggungjawab sebagai insan yang ‘memaksa’ abang-abangnya untuk kembali bersama sebagai Boboy, Naqiu tidak dapat menyembunyikan rasa puas apabila pujukan itu membuahkan hasil.

Mana tidaknya, dia tahu mungkin ada antara mereka yang takut andai percaturan itu tidak memberi sebarang hasil. Mungkin peminat sudah melupakan fenomena lagu mereka, Episod Cinta.

“Saya tahu mereka (anggota Boboy) takut. Mereka tanya, kita masih ada peminat ke? Memang mula-mula pun saya risau. Iyalah, saya tarik mereka untuk membahagikan masa. Adakah pengorbanan mereka itu berbaloi?

“Tetapi, apabila mendengar sorakan peminat, saya tahu mereka dapat rasakan comeback kami itu ditunggu-tunggu. Kiranya, saya tak buang masa mereka,” kata vokalis berusia 35 tahun itu.

KONSERT BOBOY
Ditanya perkembangan seni Boboy, Naqiu memaklumkan, mereka baru sahaja melancarkan single, Tetap Bersama yang menjadi mukadimah kepada langkah semula dalam industri seni suara.

Dilancarkan hujung Julai lalu, lagu tersebut diharapkan menyempurnakan kerinduan peminat mereka sejak kemunculan 20 tahun lalu. Malah, lagu itu juga diharapkan mampu menarik peminat baharu, khususnya generasi muda.

“Tetap Bersama sepatutnya dilancarkan hujung tahun lalu, tetapi komitmen kerjaya solo terlalu padat hingga ditunda.

“Lagu ini simbolik hubungan akrab kami walau apapun pernah berlaku sepanjang 20 tahun bersama. Lagu ini boleh dikaitkan dengan erti persahabatan dan percintaan,” katanya.

Bercakap soal konsert, ada berita gembira yang disampaikan Naqiu apabila mereka sedang merancang mengadakan persembahan, terutama di luar Kuala Lumpur bertemu peminat.

“Kami sedang menunggu penaja dan perancangan ke arah itu sudah ada. Kami mahu buat betul-betul. Baru peminat akan puas dan rasa berbaloi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya