KUALA LUMPUR : Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad menasihati orang ramai supaya menitikberatkan penjagaan kesihatan, selain melakukan pemeriksaan secara berkala sebagai langkah awal mencegah penyakit serius.
Uyaina dalam perkongsian di Instagram (IG) berkata, mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif bersukan juga bukan jaminan seseorang bebas daripada sebarang penyakit.
Memberikan contoh abangnya, Mohd. Attaful Uzair Arshad yang meninggal dunia pada 18 Ogos lalu akibat jantung tersumbat, Uyaina berkata, arwah sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, selain aktif bersukan.
“Arwah abang langsung tidak menunjukkan simptom, cuma pernah mengadu kepada kakak ipar yang dia sakit dada. Ini saya boleh katakan simptom awal untuk orang yang ada masalah jantung,” katanya.
Sambil menahan sebak, Uyaina, 29, berkata, penyakit itu boleh berpunca daripada keturunan atau genetik kerana dia pernah didiagnos dengan masalah komplikasi jantung pada 2018.
“Pertama masalah Supraventricular Tachycardia (SVT) iaitu degupan jantung saya laju dan komplikasi Quadricuspid Aortic Valve (QAV) di mana orang normal mempunyai tiga, manakala saya empat.
“Saya tiada masalah lain, begitu juga arwah abang. Keturunan atau genetik juga antara faktor yang meninggikan lagi risiko penyakit jantung.
“Sila ambil perhatian di situ, terutama jika ibu bapa atau adik-beradik yang pernah terkena serangan jantung pada usia muda,” katanya.
Sehubungan itu, pemilik nama Saidatul Naseha Uyaina itu mengingatkan orang ramai supaya melakukan pemeriksaan tahap kesihatan kerana penyakit dan maut tidak mengenal usia.
“Saya didiagnos ketika umur 27 tahun, manakala abang sulung meninggal dunia pada usia 35 tahun. Kita semua kena beringat penyakit atau ajal tidak kenal usia.
“Kita mungkin amalkan gaya hidup sihat, aktif, rajin bersenam dan menjaga makan. Tetapi, tolong pergi buat pemeriksaan kesihatan. Pergi jumpa doktor untuk periksa darah dan keadaan tubuh badan,” katanya.