KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer terkenal, Ajai mengingatkan mana-mana penyanyi yang berhasrat menyanyikan semula lagu lama supaya melakukan susunan muzik baharu dan tidak menggunakan komposisi asal.
Kata Ajai, perkara itu merupakan sebahagian ketetapan yang perlu dipatuhi dan sekiranya diabaikan, mereka mungkin berisiko dikenakan tindakan undang-undang.
“Mana-mana lagu, selepas enam bulan diedarkan boleh dinyanyikan semula penyanyi lain dalam versi baharu, tanpa menggunakan bunyi dan susunan muzik asal.
“Untuk menyanyi semula, memang tiada masalah, tetapi kena tukar kerana susunan muzik asal adalah milik syarikat rakaman,” katanya ketika ditemui pada showcase penyanyi baharu, Sophia Zuhri, baru-baru ini.
Dalam pada itu, kata Ajai, artis tidak boleh dipersalahkan sekiranya lagu lama yang dinyanyikan semula itu tidak berjaya atau gagal menarik perhatian pendengar.
“Itu adalah peranan label dan penerbit. Kita tidak boleh salahkan artis. Mereka cuma terima arahan label dan penerbit.
“Tetapi tentunya, mana-mana artis baharu akan bangga kerana dipilih menyanyi semula lagu lama. Mungkin bagi mereka itu penghormatan buat penyanyi asal,” katanya lagi.