JAKARTA: Pelakon sinetron popular, Marshanda, 33, memaklumkan, dia belum bersedia untuk berkahwin buat kali kedua, pada masa sama, terbuka jika ada lelaki yang cuba mendekati.
Jelas pelakon sinetron Putri Yang Terbuang itu, dia mengimpikan perjalanan cinta yang serasi, namun tidak mahu terburu-buru mendirikan rumah tangga.
“Untuk bernikah lagi itu, mungkin tidak. Bukan sekarang. Tetapi, saya terima jika ada jodoh untuk berpasangan dengan sesiapa. Apa yang penting adalah keserasian,” katanya.
Pelakon yang juga penyanyi itu berkata demikian dalam satu temu bual bersama Marianne Rumantir di saluran YouTube TS Media, baru-baru ini.
Marshanda sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Ben Kasyafani pada 2011 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Sienna Ameerah, 9, sebelum bercerai pada 2014.
Bercakap soal kriteria jejaka pilihan hatinya, Marshanda berkata, dia mahukan lelaki yang mampu memberi ketenangan untuk menjalani kehidupan seharian.
“Kalau nanti bertemu dengan lelaki dan kami saling menerima antara satu sama lain , itu sudah cukup. Biarlah dia tidak terlalu memeningkan kepala dan mampu menjadi sumber ketenangan saya.
“Kenapa kita kena berpasangan dengan mereka yang buat kita tertekan? Memang sakit kepala,” katanya.