Perjalanan Jaafar Onn dalam dunia hiburan ada naik turunnya. Artis bertaraf legenda ini telah membuktikan dia mampu kekal bertahan dan terus menghibur, meskipun usianya sudah melepasi tujuh dekad.
Jaafar sehingga ini telah berlakon lebih 18 filem, selain pelbagai drama yang berjaya memahat namanya dalam barisan artis senior yang disegani.
Dia adalah bintang serba boleh yang menguasai pelbagai bidang hiburan termasuk lakonan, tarian, nyanyian dan pengacaraan.
Dalam perbualan menerusi panggilan telefon, empunya nama sebenar Jaafar Onn Awang ini menceritakan tentang penglibatan awalnya dalam bidang hiburan yang bermula dengan dunia seni tari.
Kata Jaafar, minatnya terhadap seni tari tersemat dalam diri sejak usia belasan tahun lagi.
Namun, hobinya itu tidak mendapat restu orang tuanya yang ingin melihat dia cemerlang dalam bidang pelajaran.
“Saya aktif berlakon, menyanyi dan menari sejak di bangku sekolah. Minatnya saya kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sampaikan rambut saya kerintingkan kerana mahu kelihatan sepertinya.
“Tetapi, arwah bapa dan mak tidak berapa berkenan dengan penglibatan saya dalam bidang tarian kerana khuatir tumpuan terhadap pelajaran terjejas.
“Mereka terkilan dengan tindakan saya meninggalkan kampung halaman di Muar, Johor dan pergi ke Kuala Lumpur semata-mata untuk mengejar impian menjadi penari,” katanya.
Cerita Jaafar lagi, kedatangannya ke Kuala Lumpur (KL) bukan dengan kemewahan. Berbekalkan RM18, dia memberanikan diri menerjah kota raya sendirian.
“Kebetulan, saya mempunyai saudara yang tinggal di Flat Pekeliling. Dengan rela hati, mereka menawarkan saya tinggal bersama di sana.
“Ketika itu, jiwa saya begitu memberontak untuk menjadi seorang penari. Jadi, saya tidak pernah takut untuk berpindah sendirian di KL.
“Meskipun wang yang saya bawa terlalu sedikit, urusan saya tetap dipermudahkan. Saya tidak rasa kurang, malah mencukupi,” ceritanya.
Ditipu dan tak dibayar, itu perkara biasa
Lebih 40 tahun menghambakan diri dalam dunia seni, banyak pengalaman yang dilalui Jaafar. Pastinya yang pahit pernah dirasai.
Namun, Jaafar tidak pernah serik, apatah lagi kecewa dengan industri yang sudah berdarah daging dalam dirinya. Baginya, minat mengatasi segala keburukan yang menimpa dirinya.
“Banyak pengalaman pahit yang saya lalui sepanjang bergelar artis. Kena tipu dan tak dibayar itu sudah menjadi perkara biasa.
“Saya pernah dijanjikan bayaran RM1,000 satu babak untuk sebuah filem, namun saya hanya dibayar RM100 untuk keseluruhan babak yang dilakonkan. Sampai sekarang individu terbabit tak pernah melangsaikan bayaran penuh dan perkara itu tidak pernah saya canangkan kepada umum.
“Saya reda dan tak kisah, bayar atau tidak itu terpulang kepada mereka. Nak buat macam mana, sudah mereka tidak mahu bayar, saya diamkan sajalah,” luahnya.
Bagi Jaafar, apa yang berlaku adalah asam garam dunia hiburan. Katanya, tidak perlu untuk sedih dan kecewa kerana dia percaya, rezeki Allah tidak pernah salah alamat.
“Sebagai penggiat seni, kita tidak akan lari daripada situasi seperti itu. Apa yang mampu kita buat, biarkan saja. Allah saja yang mampu membalasnya.
“Begitu juga pihak tertentu yang cuba menutup pintu rezeki saya. Ada di antara mereka terdiri dalam kalangan rakan artis. Nak buat bagaimana? Dah mereka mahu memburuk-burukkan kita.
“Perkara seperti itu tidak menghairankan. Tetapi, saya tetap berpegang kepada rezeki yang telah ditentukan,” ujarnya.
Rahsia sihat dengan sedekah
Itulah amalan yang membawa kepada kesejahteraan dan kesihatan buat dirinya. Kata Jaafar, dia bersyukur, pada usia 70 tahun dikurniakan kesihatan yang baik dan masih mampu bekerja untuk mencari pendapatan.
“Apabila saya terima tawaran berlakon, menyanyi, melawak dan sebagainya,hati saya gembira dan akan terus bersedekah. Setiap hari, waima RM2 sekali pun, saya akan masukkan ke dalam tabung masjid atau surau. Itu adalah amalan yang saya pegang sejak dulu lagi.
“Kita kena ikhlaskan diri, buat sesuatu kerana Allah SWT. Sentiasa perbanyakkan selawat dan amalkan zikir Bismillah serta bacaan surah Al-Ikhlas, lebih-lebih lagi sebelum tidur. Mungkin kerana amalan itu, Allah rezekikan kesihatan untuk saya,” katanya.
Jaafar juga mengakui, dia tidak berdepan penyakit kronik yang sinonim dengan golongan seusianya.
“Alhamdulillah, saya tidak ada penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung dan bersyukur masih boleh menikmati apa sahaja makanan tanpa perlu berpantang.
“Saya tidak merokok, pergi ke pusat hiburan dan sebagainya. Mungkin kedengaran agak pelik, tetapi itulah saya. Pusat karaoke pun saya tak pergi.
“Bidang seni ini adalah tempat saya mencari rezeki. Lebih baik saya jaga diri daripada membuat perkara yang tidak elok. Biarlah orang nak kategorikan saya sebagai katak di bawah tempurung, saya tidak kisah,” katanya lagi.
Buang sifat dendam mahupun iri hati
Bertahan dalam industri seni untuk tempoh yang lama bukan perkara yang mudah untuk lakukan. Namun, bagi Jaafar, bidang seni adalah jalan rezeki yang telah ditentukan untuknya.
“Saya akan berada di sini untuk mencari rezeki dan selagi diperlukan. Selagi Allah memberikan rezeki dengan jalan ini, selagi itu saya tidak akan berhenti,” katanya.
Jaafar juga memaklumkan, bersikap baik dan ikhlas adalah kunci untuk kekal lama dalam industri yang penuh liku dan cabarannya tersendiri.
“Berbuat baiklah dengan semua orang. Buang sifat dendam mahupun iri hati dan belanjalah rakan-rakan anda makan setiap hari,” katanya sambil ketawa.