SETIAP anak seni pasti mendambakan nama dan karya yang dihasilkan bergerak seiring. Namun, ada ketika, apa yang diimpikan tidak menjadi kenyataan apabila segelintir terpaksa akur karya mereka lebih diperkatakan berbanding empunya diri.
Situasi itu turut dirasai bakat yang dicungkil menerusi program realiti, Akademi Fantasia 2014, Aman Aziz. Penyanyi yang berasal dari Klebang, Melaka itu akur, namanya kurang menyerlah berbanding lagu nyanyiannya.
Meskipun sudah tujuh tahun berusaha memahat nama lebih kukuh dalam industri hiburan, penyanyi lagu Sulit itu menerima kenyataan, lagu nyanyiannya lebih diperkatakan berbanding dirinya.
Situasi itu, kata Aman belum membuatnya terdesak untuk menaikkan nama hingga terpaksa melakukan perkara negatif yang boleh menconteng arang pada wajah keluarga.
“Saya tidak nafikan kenyataan, nama saya kurang menyerlah berbanding lagu yang saya rakamkan. Cuma, selepas lebih tujuh tahun dalam industri hiburan, sudah tiba masanya khalayak mengenali siapa empunya lagu.
“Saya tidak tahu di mana silap hingga ramai yang belum begitu mengenali Aman Aziz. Mujur dengan adanya aplikasi TikTok, selain banyak memuat naik kandungan rakaman semula lagu popular, ramai yang mula memberi perhatian.
“Mereka mula mengambil tahu dan mencari informasi mengenai penyanyi di sebalik lagu yang dirakamkan semula itu,” katanya.
Menurut Aman atau nama sebenarnya, Mohammad Razman Abdul Aziz, 29, boleh saja dia mengambil jalan mudah untuk dikenali dengan mencipta kontroversi panas.
“Namun, pendirian saya kuat kerana banyak air muka yang perlu dijaga. Memang saya sudah mempersiapkan mental untuk berdepan apa saja kontroversi, tetapi ahli keluarga belum tentu boleh menerimanya.
“Jika kontroversi yang datang berkaitan kerjaya, saya masih boleh menerimanya. Tetapi, jika melibatkan perkara yang mungkin mengaibkan diri dan keluarga, minta dijauhkanlah,” katanya.
Patah hati
Aman turut mengakui, dia seorang yang berjiwa halus. Biarpun perwatakannya kelihatan ceria, Aman sebenarnya sering melayani lagu-lagu patah hati.
“Malah, ketika sedang gembira pun, saya suka dengar lagu jiwa kacau. Lagu seumpama itu sangat kuat dan dekat dengan peminat muzik tempatan.
“Sebagai pemuzik, saya tentunya ingin mengetengahkan karya yang memberikan impak, baik dari sudut komposisi lagu dan juga lirik. Saya bukan mamat jiwang, cuma berjiwa halus,” jelasnya.
Aman berkata demikian ketika berkongsi mengenai lagu baharunya, Satu Hari Saat Hujan yang menceritakan tentang kesukaran seseorang melupakan bekas kekasihnya.
Selain Sulit, Aman pernah popular menerusi lagu Without You dan Tunggu Lama.
Dalam perkembangan lain, Aman turut aktif dalam bidang lakonan. Terbaharu, dia sedang menjalani penggambaran drama bersiri, Cina Buta terbitan syarikat produksi, Radius One Sdn. Bhd. yang diarahkan oleh Shahrulezad Mohameddin.
Drama bersiri itu membariskan pelakon seperti Nad Zainal, Ungku Ismail Aziz, Aliff Aziz, Puteri Aishah, Didie Alias dan ramai lagi.