AIM masih relevan - Rosmin Hashim

AIM masih relevan – Rosmin Hashim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim menegaskan Anugerah Industri Muzik (AIM) masih perlu dianjurkan dan kekal relevan sebagai platform yang mengiktiraf pencapaian penggiat muzik di negara ini.

Kata Rosmin, perkara itu kerana AIM mengiktiraf kualiti, melibatkan panel penilai yang pakar dan profesional dalam industri muzik tempatan.

“AIM masih relevan dan dinantikan seluruh warga industri muzik tanah air. Acara ini berbeza dengan yang lain kerana penilaian bagi setiap kategori dibuat pakar industri (muzik).

“Kerana itu apabila artis memenangi satu-satu anugerah di AIM, ia begitu bernilai disebabkan mereka dipilih oleh golongan profesional dalam bidang ini.

“Jadi kemenangan di AIM cukup bermakna buat penggiat industri muzik tempatan. Ia akan terus dikenali sebagai acara penganugerahan yang mengiktiraf kualiti dan kecemerlangan, bukan populariti semata-mata,” katanya.

Rosmin berkata demikian pada sidang media AIM23 di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.

Kali terakhir AIM dianjurkan adalah pada 2016. Namun selepas lima tahun ‘direhatkan’ kerana masalah kewangan dan penajaan serta penularan Covid-19, anugerah berprestij itu bakal dilaksanakan semula pada 11 September depan.

“Kami masih mengkaji perjanjian dengan bakal penyiar rasmi, Astro.

“AIM23 akan dianjurkan sekiranya kata sepakat dicapai kedua pihak.

“Tarikh cadangan adalah 11 September depan bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA),” tambah Rosmin.

AIM23 bakal mempertandingkan 26 kategori termasuk Lagu Terbaik dan Album Terbaik.

Mengulas tentang pencalonan, Rosmin memaklumkan produk dipilih adalah yang diterbitkan antara Januari 2021 hingga Jun 2022.

“Kita mahukan produk terkini dan relevan untuk dicalonkan. Pemilihan produk tahun 2017 tidak dibuat kerana ia tidak bersifat semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rosmin turut mengumumkan pemansuhan AIM Tamil dan Mandarin dan menyatukan kedua edisi itu dalam Anugerah Utama AIM23.

“Keputusan itu dibuat sejajar konsep Keluarga Malaysia. Tambahan pula, sebilangan besar pengikut anugerah ini adalah orang Melayu.

“Oleh itu, penganjur merasakan relevan jika dua edisi itu dimasukkan dalam kategori anugerah utama,” jelasnya.

 

Kategori dipertandingkan:

– Artis Baru Terbaik
– Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (lelaki)
– Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (wanita)
– Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (berkumpulan)
– Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu
– Video Muzik Terbaik
– Runut Bunyi (ost) Terbaik Di Dalam Filem/Drama
– Lagu Rock Terbaik
– Lagu Pop Terbaik
– Lagu R&B/Hip Hop Terbaik
– Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik
– Lagu Inggeris Tempatan Terbaik
– Lagu Cina Tempatan Terbaik
– Lagu India Tempatan Terbaik
– Lagu Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara
– Lagu Nasyid Terbaik
– Lagu Pop Etnik Terbaik
– Album Terbaik
– Lagu Terbaik
– Anugerah Sri Wirama
– Kulit Single/Album Terbaik
– Rakaman Album Terbaik
– Rakaman Lagu Terbaik
– Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu
– Lagu Paling Tinggi Di Strim
– Lagu Nada Dering Jualan Paling Tinggi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya