KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, 29, memaklumkan, dia baru sahaja kehilangan abangnya, Mohd Attaful Uzair yang meninggal dunia akibat serangan jantung.
Menurut Uyaina, arwah abangnya menghembuskan nafas terakhir ketika melakukan aktiviti berbasikal, malam tadi.
“Rasa terlalu perit dan sakit untuk diungkapkan dengan kata-kata. Saya kehilangan seorang insan yang terlalu baik.
“Baru semalam kami berjumpa. Makan, bersembang dan ketawa bersama-sama . Macam-macam juga dia pesan. Dia risaukan adiknya yang akan bersalin. Rupa-rupanya, dia yang pergi dulu.
“Rasa tidak percaya dia sudah tiada. Terlalu awal dia pergi. Sama usia dengan arwah baba (bapa) ketika meninggal dunia,” katanya.
Uyaina berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram, pagi tadi.
Uyaina berkata, dia terkilan kerana hasrat arwah abangnya untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran ibu mereka tidak kesampaian.
“Saya kehilangan darah daging yang terlalu kami sayang. Hari ini, 19 Ogos adalah hari jadi ummi.
“Lama dia rancang nak sambut ulang tahun ummi. Akhirnya, hari lahir ummi diiringi dengan pemergian anak sulungnya. Allahuakbar,” katanya.
Tambah Uyaina lagi, arwah abangnya yang juga doktor di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini, adalah insan berhati mulia dan selalu menjadi contoh terbaik buat mereka.
“Orang baik selalu pergi dulu. Dia sangat baik, terlalu baik. Anak yang baik. Abang yang baik. Suami yang baik. Ayah yang baik.
“Selepas arwah baba meninggal dunia, dia jadi ketua keluarga. Dari kecil lagi, dia sudah tunjukkan contoh yang baik untuk kami adik-beradik. Dia masuk asrama, kami semua pun nak masuk asrama.
“Dia berjaya dalam pelajaran, kami juga mahu berjaya dalam pelajaran. Dia sentiasa dahulukan ummi. Kami adik-beradik berebut nak berbakti kepada ummi. Dia juga pemurah dan penyayang.
“Abangku Uzair, semoga syurga menantimu. Minta kalian semua hadiahkan Al-Fatihah buat Mohd Attaful Uzair Arshad. Doakan juga kesejahteraan dan kekuatan buat isteri dan anak-anaknya,” katanya.