Suami izinkan Wany Hasrita kekal menyanyi kena labuhkan tudung

Suami izinkan Wany Hasrita kekal dalam bidangnya, kena labuhkan tudung

Wany Hasrita
Kira-kira 1,000 tetamu hadir di majlis kesyukuran dan persandingan penyanyi Wany dan Mohd. Al-Adib baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernikahan Wany Hasrita, 29, bersama jejaka pilihan yang juga seorang juruterbang, Mohd. Al-Adib Fahmi Harun, 30, Jumaat lalu, meleraikan pelbagai persoalan tentang status penyanyi berkenaan.

Wany yang nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah melonjak menerusi lagu Menahan Rindu sah bergelar isteri kepada Adib, dengan dua kali lafaz dalam majlis pernikahan yang diadakan di Glam Hall, Damansara Perdana, Selangor.

Melangkah ke alam perkahwinan, tentunya yang dibawa bersama adalah tanggungjawab dan komitmen kekeluargaan.

Ketika menyantuni rakan media pada majlis persandingannya yang diadakan di Forest Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini, Wany dan suami berkongsi banyak perkara tentang kehidupan baharu yang bakal ditempuh selepas ini.

Menurut Wany, sebagai isteri, dia akan sedaya upaya menjaga segala perkara dan cuba memenuhi tuntutan suami yang antara lain ingin melihat penyanyi itu melabuhkan tudungnya.

“Itu point utama. Saya cuba sedaya upaya. Sebelum-sebelum ini pun, pernah dinasihatkan. Saya doa banyak-banyak, semoga Allah tetapkan hati.

“Saya akan cuba contohi mereka yang menjaga (pemakaian) meskipun masih berada di dalam industri (seni),” katanya ringkas.

Menjawab tentang kerjaya nyanyian selepas ini, Graduan Management & Science University (MSU) dalam bidang Sains Perubatan itu memaklumkan dia tidak merancang untuk berhenti atau memperlahankan aktiviti seni dalam masa terdekat.

Katanya, suami faham tentang perkara tersebut dan tidak menghalang untuk dirinya terus aktif dalam bidang berkenaan.

“Kami sudah berbincang tentang perkara ini. Buat masa ini, masing-masing faham. Ada kewajipan yang perlu diselesaikan.

“Insya-Allah, saya ada rancang untuk settle down. Tetapi bukan dalam masa terdekat kerana masing-masing ada komitmen.

“Tetapi, sebagai isteri, saya akan jaga apa yang boleh dijaga dengan sebaik yang mungkin,” jawabnya.

Hati baik, tak cakap buruk orang

Itu adalah ciri-ciri seorang Wany Hasrita yang membuatkan hati Adib terpaut lantas menyunting sebagai suri hatinya.

Kata Adib, keperibadian Wany yang semula jadinya begitu merupakan satu perkara istimewa yang menyenangkan.

“Hati dia baik dan dia tak suka cakap buruk pasal orang. Dia sering ucap Alhamdulillah bagi setiap kebaikan dan keburukan yang berlaku.

“Tambah lagi dia bukan seorang yang suka merungut. Itu antara ciri-ciri yang buat saya tertarik dengannya,” katanya.

Mengahwini seorang selebriti pastinya bukan keputusan mudah untuk diambil. Tambahan lagi, Adib keperibadiannya seorang yang bersederhana dan mementingkan privasi.

Namun dia faham akan status dan tanggungjawab Wany yang ada kelompok peminat yang sentiasa menyokong dan mengikuti perkembangannya meskipun setelah berumah tangga.

“Asalkan tidak mengganggu kehidupan peribadi dan kerjaya, insya-Allah okey. Kalau ada yang sekadar nak berborak, ambil gambar. Tak ada masalah.

“Apa-apa yang dibuatnya (Wany), dia akan tanya kepada saya dan saya tanya dia semula, okey atau tidak? Seolah-olah psikologi berbalik. Sebab lelaki kena akur memang perempuan sentiasa betul bukan?,” selorohnya.

‘Bahagia jangan tunjuk’

Sebelum perkahwinan mereka berdua menjadi topik perbincangan alam maya dan ruang depan akhbar harian, teka-teki tentang perhubungannya dengan jejaka misteri rancak diperkatakan.

Namun, pujian harus diberikan kepada penyanyi cantik ini kerana merahsiakan perhubungannya dengan Adib demi menjaga hati pihak-pihak tertentu termasuk ahli keluarga dan sebagainya.

“Sukar juga merahsiakan. Kami faham tugas wartawan dan rakan media, sedaya upaya menjaga pihak yang perlu dijaga.

“Saya rahsiakan sebab pengalaman terdahulu. Hubungan ini, matlamatnya kita tahu penghujungnya bagaimana.

“Jadi, kalau boleh saya nak jaga sebaik-baiknya. Adib jarang menggunakan media sosial dan saya hormati permintaannya. Selagi belum sah, selagi itu tak perlu kongsikan apa-apa,” katanya.

Wany akan terus berpegang kepada prinsip diajarkan ibunya, agar tidak menggembar-gemburkan hal rumah tangga kepada umum.

“Pesan ibu, bahagia jangan tunjuk, derita apatah lagi. Saya akan pegang itu dalam hidup berumah tangga.

“Kalau boleh sebaik-baiknya saya jaga. Berpada-pada. Perkara yang saya pelajari setelah mengenali Adib, bercerita hanya perkara yang perlu,” kongsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya