KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit, Mohd. Noor Kadir meninggal dunia sekitar pukul 1.57 pagi hari ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser prostat tahap empat.
Berita duka itu dikongsikan rakan baiknya yang juga pengarah, Datuk Yusof Haslam.
Yusof memaklumkan Allahyarham pada bulan lepas menjalani pembedahan jantung bagaimanapun dimasukkan semula ke hospital selepas jantungnya membengkak dan mengalami komplikasi lain.
Mohd Noor sinonim dengan drama-drama terkenal TV3 termasuk Cinta Antara Benua, Cinderella, Romeo & Juliet, Salam Taj Mahal dan Cinta Korporat.
Jenazah dimandikan dan dikafankan di Madrasah Iktisamiah Taman Melati kira-kira 8 pagi tadi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih.