KUALA LUMPUR: Cef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Cef Wan mengakui beliau cukup menghormati kerjaya kru penerbangan.
Katanya, perkara itu kerana dia memahami tugas anak kapal, termasuk pramugara atau pramugari yang tidak mudah dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
“Berat tanggungjawab, masa mereka tidak menentu waktu bekerja. Memerlukan ketahanan diri, kesabaran yang tinggi dan macam-macam lagi.
“Melayan pelanggan di dalam penerbangan bukan mudah. Tanyalah sesiapa yang pernah kendalikan saya ketika dalam penerbangan. Selalunya saya akan happy go lucky, tidak cerewet atau demanding.
“Saya akan layan semua kru (penerbangan) dengan rasa hormat dan kebaikan,” tulisnya.
Dalam masa sama, Cef Wan tampil menegur sikap tidak ‘menyenangkan’ segelintir penumpang yang berlagak dan sombong ketika berada dalam satu-satu penerbangan.
Berdasarkan pengalaman, Cef Wan tidak menolak wujudnya golongan-golongan kaya dan kenamaan yang menunjukkan perangai sedemikian.
“Sesekali ada juga orang-orang kaya, ternama, selebriti dan kerabat diraja yang demanding, sentiasa tidak gembira dan merungut itu dan ini.
“Mereka ingat mereka duduk kelas perniagaan, apa lagi kelas pertama dapat layan (kru penerbangan) macam hamba abdi mereka pun ada. Ini penyakit some societies. Yang orang kaya baru perasan lebih pun ada.
“Yang tak biasa ini semua, duduk kelas ekonomi pun ada yang jenis memerintah. Asalkan manusia namanya, jika sikap itu buruk kau letak la mereka di tahap mana pun akan melihat keburukan mereka,” luahnya kecewa.