Kenapa wanita lebih ramai hadapi masalah tiroid?

Kenapa wanita lebih ramai hadapi masalah tiroid?

Wanita lima kali cenderung alami gangguan tiroid berbanding lelaki.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masalah tiroid menakutkan ramai wanita pada setiap peringkat umur. Ini kerana wanita memiliki lima kali lebih cenderung mengalami gangguan tiroid berbanding lelaki. Bahkan tanda-tanda tiroid juga seringkali dikelirukan dengan masalah kesihatan yang lain.

Namun begitu, masih ramai lagi wanita tidak mengambil tahu tentang masalah ini.

Menurut Pakar Bedah Am, Pantai Hospital Laguna Merbok, Sungai Petani Kedah, Dr. Husna Syakirah Ab. Rahman, tiroid adalah kelenjar organ yang berada di hadapan leher yang berfungsi dalam menghasilkan hormon tiroid.

“Hormon tiroid ini penting dalam mengendalikan metabolisma dan fungsi tubuh badan seseorang itu. Tiroid akan menghasilkan dua jenis hormon iaitu T4 dan T3. T4 adalah 99 peratus dihasilkan oleh tiroid yang kemudiannya akan diaktifkan dalam bentuk T3 untuk digunakan oleh sel-sel tubuh badan.

“Ada dua jenis masalah atau gangguan hormon tiroid iaitu hyperthyroidism dan hypothyroidism. Hyperthyroidism terjadi apabila hormon tiroid dihasilkan secara berlebihan. Antara puncanya ialah grave disease, toxic moultinodular goiter, toxic nodule (hanya satu nodule yang menghasilkan hormon yang banyak),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu hypothyroidism terjadi apabila tyroid kurang aktif dalam penghasilkan hormon. Misalnya masalah hashimoto thyroiditis atau radang pada tiroid.

Pun begitu, masih ramai khususnya wanita tidak menyedari mereka mempunyai penyakit ini berikutan tiada gejala serius ditunjukkan pada peringkat awal.

“Ada juga pesakit ambil mudah dengan simptom-simptom yang sudah ditunjukkan sehingga berlaku komplikasi. Selalunya pesakit juga tidak menyedari yang ada bengkak di leher disebabkan oleh goiter.

“Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sukar untuk seseorang yang mempunyai goiter yang kecil dapat melihat secara jelas. Selalunya pesakit akan datang berjumpa pakar jika ada bengkak dileher dan setelah ujian darah dijalankan baru pesakit mengetahui yang mereka mempunyai masalah gangguan hormon tiroid,” katanya.

Dr. Husna menjelaskan,, masalah gangguan hormone tiroid di Malaysia adalah hypethyroidism sebanyak 3.4 peratus dan hypothyroidism 2.1 peratus.

Kebanyakan pesakit hanya mengetahui yang mereka mempunyai masalah gangguan hormon tiroid apabila mereka menyedari ada bengkak di leher.

“Hingga kini masih tidak dapat dipastikan mengapa lebih ramai wanita mengalami penyakit ini. Mungkin disebabkan autoimmune disease yang menyebabkan grave disease,” ujarnya.

Justeru katanya, adalah perlu bagi seseorang pesakit yang sudah didiagnos dengan gangguan tiroid untuk mendapatkan rawatan supaya tidak belaku komplikasi yang boleh membahayakan nyawa.

“Untuk pesakit yang mempunyai masalah gangguan tiroid, rawatan perubatan perlu dimulakan segera.

“Bagi yang menghidapi hyperthyroidism, pesakit akan diberi tablet carbimazole atau propylthiouracil (sesuai untuk pesakit yg mengandung).

“Jika masih tidak dapat dikawal pesakit mungkin diberi pilihan untuk melakukan pembedahan atau rawatan ablsi radioaktive (radioiodine therapy),” katanya.

Pesakit hypothyroidism pula akan diberikan ubat thyroid secara oral.

Bagaimapun kedua-dua jenis gangguan tiroid ini perlu dipantau melalui ujian darah untuk melihat keberkesanannya.

KOMPLIKASI:
Gangguan pada tiroid tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi. Antaranya:

*Masalah gangguan nadi jantung yang tidak sekata (atrial fibrillation)

*Masalah tulang rapuh

*Masalah mata (grave’s ophthalmopathy); mata terbonjol; radang mata; sakit pada bola mata; mata kering; rabun (double vision), masalah saraf

*Myxedema (pesakit boleh koma jika tidak dirawat

*Kemurungan

Ubah gaya hidup lawan sakit

Pada awalnya, Noor Farahanim Ali, 32 tidak menyangka rasa berdebar-debar dialaminya merupakan simptom awal penyakit tiroid.

“Saya masih ingat tahun lepas jantung saya sering berdegup dengan kencang walaupun saya sedang berehat dan tidak melakukan aktiviti lasak.

“Badan saya juga senang berpeluh walaupun duduk di dalam bilik yang dilengkapi dengan pendingin hawa. Tidak cukup dengan itu, tangan serta jari saya selalu sahaja bergetar-getar seakan-akan orang yang sedang demam panas dan saya mula perasan akan gejala ini ketika saya sedang menaip atau menyiapkan tugasan pejabat,” katanya.

Apabila berkongsi masalah dengan rakan sekerja, mereka mengatakan bahawa masalah ini disebabkan oleh masalah hormon tiroid yang tinggi dalam badannya.

Sejak itu, Noor Farahanim mencari maklumat dalam talian berkaitan penyakit tersebut. Tanpa membuang masa, dia juga membuat temu janji untuk melakukan pemeriksaan doktor mengenai penyakitnya.

“Selepas menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan saya menghidap masalah hormon tiroid. Sebenarnya, saya dapat tanda awal terutama ketika menelan air liur, saya rasa ada sesuatu pada leher.

Rasa bengkak itu tanda yang saya tidak sedar.

“Apabila berada di tempat kecil, kadang-kadang saya sukar bernafas. Situasi ini juga saya alami apabila tidur dan kadang-kadang saya perlu meniarap untuk tidur,” ujarnya.

Pun begitu, Noor Farahanim sedar penyakit ini sebenarnya normal dan boleh dirawat sama seperti penyakit lain.

“Selain rawatan pakar, saya juga mengubah gaya hidup termasuk mendapatkan tidur yang cukup, tidak minum kafein dan kerap menenangkan diri untuk mengelakkan kerisauan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noor Farahanim menasihatkan orang ramai khususnya wanita yang mempunyai tanda-tanda awal penyakit supaya segera melakukan pemeriksaan di hospital berdekatan.

Baginya, penyakit ini boleh menganggu emosi dan rutin harian jika tidak dirawat segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya