KELEMAHAN tiga murid tahun dua, Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Terendam, Sik yang ‘tersangkut’ di tahap Iqra satu yang sepatutnya dikuasai semasa berusia tujuh tahun mendorong seorang guru melakukan kajian tindakan mengenai perkara itu.
Kajian diperolehi, Rozita Abdullah mendapati, murid-murid itu gagal membaca kalimah pelbagai baris yang diceraikan menjadi huruf tunggal hijaiyah berbaris Fathah.
Murid dikenal pasti tidak dapat mengecam huruf yang disusun secara rawak, ia menyukarkan bagi mereka untuk membezakan dan mengingat bunyinya serta susah untuk menghafal selain mudah lupa.
“Semasa sesi tasbih yang menggunakan kaedah Iqra dijalankan, saya mendapati tiga daripada 19 murid tahun dua masih berada di tahap Iqra satu yang sepatutnya mereka kuasai semasa di darjah satu.
“Pada sesi itu, didapati kaedah Iqra biasa yang mengandungi teknik bacaan sebelum ini didapati kurang berkesan dan guru perlu membina satu kaedah baharu.
“Ia bertujuan untuk membantu murid mengingatinya dengan mengaitkan antara huruf dan bunyi agar membolehkan mereka menyebut bunyi huruf hijaiyah berbaris Fathah,” katanya yang mengajar subjek Pendidikan Islam di sekolah berkenaan.
MULA MASA PDPR
Rozita mula melakukan kajian tindakan bertajuk ‘Meningkatkan Kemahiran Menyebut Bunyi Huruf Hijaiyah Berbaris Fathah Murid Tahun Dua Semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)’.
Kajian itu melibatkan empat proses iaitu observe, reflect, plan dan act yang mana kitarannya akan berulang dalam proses sama sehingga satu masa sesuai.
“Kajian dimulai dengan ujian pra yang diadakan secara tasmih, kemudian aktiviti pertama iaitu menulis huruf di udara yang dipanggil aktiviti mengecam huruf,” katanya.
Aktiviti kedua dilakukan adalah imaginasi huruf iaitu menyebut bunyi huruf sebelum memasuki aktiviti ketiga iaitu aktiviti tasmik yang dijalankan sebanyak tiga sesi yang juga merupakan ujian pasca.
“Kaedah imanginasi huruf merupakan satu kaedah yang dapat membantu murid untuk meningkatkan kemahiran, mengecam dan menyebut huruf hijaiyah berbaris Fathah dengan berkesan.
“Ia bagi membolehkan murid membuat perkaitan antara bentuk huruf hijaiyah dan bunyinya yang sekaligus membantu mereka menghafal,” katanya.
Dua dekad dalam dunia pendidikan
Rozita yang sudah lebih 20 tahun berada dalam dunia pendidikan berkata, objektif kajian itu adalah untuk membangunkan kaedah pengajaran yang berkesan bagi meningkatkan kemahiran dan menyebut bunyi huruf hijaiyah yang berbaris Fathah dengan betul.
“Di sini, ia menekankan keperluan guru memahami situasi sosial sebenar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP) yang sebenar dengan tujuan membaiki amalan guru serta pendekatan penyelidikan yang berusaha mempertingkat mutu profesionalisme guru,” katanya.
Ketika ditanya cabaran sepanjang melakukan kajian itu, beliau memberitahu, pandemik Covid-19 menjadi kekangan terbesar kerana tidak dapat bersemuka dengan muridnya untuk mengadakan sesi tasmik.
Ia ekoran kebanyakkan anak muridnya tinggal di kawasan pedalaman yang sukar mendapat capaian internet selain tidak berkemampuan mendapatkan data internet disebabkan keluarga berpendapatan rendah.
Selain itu, katanya, murid-murid yang lemah didapati kurang berminat sehingga memerlukan beliau memujuk memberi ganjaran serta berkolaborasi dengan ibu bapa untuk mendapatkan mereka dalam menjalankan kajian itu.
“Maka, saya bercadang menambahbaik kajian seterusnya dengan melukis benda pada huruf berdasarkan perkataan yang lebih jelas, mudah, tepat dari segi tajwid dan lebih dekat dengan kehidupan murid.
“Benda yang diimaginasi pada huruf ini juga perlu dipersembahkan dengan cara lebih menarik seperti animasi dan warna,” katanya.
Bagaimanapun, penat lelah Rozita melakukan kajian tindakan itu berbaloi apabila berjaya memenangi tempat pertama bagi Kajian Tindakan Sekolah Rendah dalam Persidangan Penyelidikan Kebangsaan kali ke-16 anjuran Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP) dan Yayasan Guru Tun Hussein Onn, baru-baru ini.
Malah, beliau yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 dalam persidangan itu turut pernah menerima sebanyak empat kali Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), peserta terbaik Kajian Tindakan Peringkat Negeri Kedah 2021 dan Anugerah Guru Inovatif serta Guru Adiwira sempena Hari Guru Peringkat Daerah Sik.
Katanya, keluarga banyak memberikan semangat dan dorongan serta ruang untuknya berkarya serta membuat kajian dan penyelidikan dalam pendidikan selama ini.