KUALA LUMPUR: Pelakon baru, Melissa Kelvin, mengakui masih terkesan dengan kehilangan adiknya, Danniel Kelvin yang pergi menemui pencipta akibat kanser.
Kata anak kelahiran Negeri Sembilan ini, ketiadaan Danniel masih dirasakan meskipun Allahyarham sudah beberapa tahun meninggal dunia.
“Kami hanya dua beradik. Dia meninggal ketika berusia 16 tahun.
“Kami sangat rapat dan banyak perkara kami lakukan bersama. Pergi uji bakat (lakonan), tengok teater dan sebagainya.
“Saya amat terkesan bila dia sudah tiada,” katanya.
Melissa berkata demikian usai sidang media Teater Muzikal Moyang Salleh di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain Melissa, teater muzikal yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada Ogos depan itu menampilkan nama-nama besar seperti Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Aloeng Silalahi, Mubarak Majid, Khir Rahman, Hairi Safwan, Along Eyzendy dan ramai lagi.
Mengulas tentang teater itu, pelakon berdarah kacukan Melayu Cina ini dia bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk membawakan salah satu watak penting iaitu Seri Banun dalam pementasan itu.
Pada masa yang sama, dia juga gemuruh mengenangkan jangkaan yang tinggi terhadap kebolehan pelakon untuk membawakan watak tersebut.
“Sebelum ini saya banyak ditawarkan watak-watak kecil. Tapi kali ini berbeza. Watak Seri Banun ini agak besar.
“Jadi saya akan kerja lebih keras dengan harapan saya dapat menjayakan watak ini dengan baik apabila teater ini dipentaskan nanti,” katanya lagi.
Teater muzikal berkenaan menceritakan tentang perjuangan figura legenda dan pemimpin Melayu, Datuk Moyang Salleh yang memerdekakan Jelebu dari jajahan Johor satu ketika dahulu.
Teater ini akan dipentaskan selama enam hari, bermula 26 hingga 31 Ogos bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya.
Tiket dijual pada harga RM49, RM79, RM89, RM119, RM149, RM249 dan RM299.
Pembelian (tiket) boleh dibuat menerusi laman sesawang https://shop.ilassotickets.com.my. Hubungi 0182755981 atau 0146364636 untuk keterangan lanjut.