Hal Terhebat buat Ernie Zakri teruja

Hal Terhebat buat Ernie Zakri teruja

ernie zakri
Govinda dan Ernie Zakri berganding suara dalam Hal Terhebat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BETUL apa yang dikata orang. Peluang baik tidak akan datang selalu.Barangkali itu jugalah yang dapat digambarkan tentang gandingan duet kumpulan dari Indonesia, Govinda, yang popular dengan lagu Hal Terhebat dengan Ernie Zakri.

Lagu ini sedang menggila pendengar dan peminat muzik terutama menerusi platform media sosial, Tiktok.

Jadi, apabila peluang datang untuk menjadikan lagu ini sebagai lagu duet, ia dilihat sebagai satu rezeki datang bergolek di mata Ernie.

Mengaku hal itu cukup mengujakan dirinya, penyanyi berusia 31 tahun ini meluahkan rasa bahawa dia tidak menyangka diberi kepercayaan membawakan karya indah ciptaan Ade Govinda itu.

“Saya tahu lagu ini popular di Tiktok. Gembira bukan kepalang rasanya kerana ia datang tepat pada masanya. Saya menyifatkan kerjasama melibatkan dua buah negara ini amat baik.

“Saya ke Jakarta melunaskan tugas merakamkan lagu termasuk menjalani penggambaran video muzik. Peluang bekerjasama dengan penerbit muzik lokal di sana, satu pengalaman menyeronokkan,” katanya.

Ketika tanggungjawab itu diberikan, terbit di akal fikirannya bahawa sesuatu pembaharuan harus dilakukan supaya ia kedengaran sedikit berbeza daripada lagu asal dendangan kumpulan tersebut.
Malah, kalau mengikut logiknya, tentu pendengar juga mahu disajikan sesuatu yang berbeza meski naskhah gubahannya masih sama.

“Pada awalnya saya banyak juga berfikir untuk meneruskan. Bukan tak nak, tetapi kalau saya nak buat, saya kena lakukan sesuatu yang berbeza namun dalam masa yang sama, tidak mengubah konteks susunan lagu asal.

“Bagi saya, bila sesebuah lagu itu diterima ramai, kita tahu, jika ia diubah dengan drastik, ia akan memberi kesan pada pendengar atau lagu itu sendiri. Tapi disebabkan saya bekerjasama dengan orang yang berpengalaman di sana, saya pun letak harapan pada mereka.

“Mereka tahu apa yang boleh saya buat dan saya cuba letakkan sisi Ernie itu dalam lagu ini. Saya yakin, lagu ini akan diterima baik oleh pendengar. Saya sendiri pun mengaku, turut teruja untuk tahu respons orang,” katanya.

Ernie turut mendedahkan dia turut mengabadikan kisah cintanya dengan suami, Syamel, kala mendapatkan penghayatan lagu.

“Maksud lagu Hal Terhebat ini sangat indah bagi saya. Bila saya rakam lagu ini, memang ada sedikit kesayuan di hati sebab bila berbicara mengenai penghargaan orang yang tersayang, memang besar maknanya,” katanya.

Lirik lagunya juga amat puitis dan ia menambah penjiwaan lebih mendalam semasa lagu itu dirakamkan.

Ernie penyanyi yang hebat 
Menyelami pandangan Govinda mengenai kolaborasi ini, Ifan yang mewakili rakan seperjuangan iaitu Yosafat Luki Marendra dan Ritchie, menyatakan rasa terharu dengan kesudian Ernie dan pihak Rocketfuel Entertainment menyatukan usahasama berkenaan.

Kata Ifan, mereka beruntung kerana Ernie disifatkan sebagai penyanyi wanita di Malaysia yang bersuara emas.

“Kami amat senang apabila Hal Terhebat mendapat sambutan luar biasa daripada pendengar dan peminat di Malaysia. Jadi, bila ditawarkan duet, kami sungguh teruja.

“Rasanya tak keterlaluan untuk kami gelarkan Ernie sebagai antara penyanyi wanita di Malaysia yang mempunyai suara emas. Suaranya bagus dan kami dengar, dia juga adalah antara penyanyi terbaik di Malaysia.

“Bila dengar suara Ernie, ternyata nyanyian dan penghayatannya ada jiwa. Kami yang mendengar suaranya pun terasa puas dan tak sabar untuk menerima respons peminat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya