Komposer, jurutera bunyi, pemuzik dan penerbit prolifik, Edrie Hashim mempunyai pengalaman yang luas dalam industri muzik tanah air. Edrie, insan seni yang karya dan lagu-lagunya dilantunkan nama-nama besar seperti Datuk Awie, Amy Search, Datuk Hattan, Ella dan ramai lagi, mencantumkan sisi pandang yang kritis tentang dunia muzik yang juga satu lapangan ekonomi yang tidak kurang pentingnya.
Dalam pertemuan eksklusif bersama Utusan Malaysia, anak kelahiran Kuala Lumpur ini berkongsi pandangan tentang hala tuju kumpulan Wings, jualan muzik serta intelek pendengar pada masa kini.
Jarang kita lihat sebuah kumpulan Rock tampil bersama dua gitaris. Tetapi Wings bereksperimentasi menggabungan Edrie dan Syam?
Saya bersama Wings hampir tujuh tahun. Main (gitar) tak ada masalah, cuma nak hasilkan bunyi yang istimewa, ambil masa. Boleh katakan, kami dah capai itu. Saya dah membuat lebih 10 persembahan bersama Wings. Dan ada dua gitaris. Kami nak hasilkan sesuatu yang lain. Ini bukan soal tak boleh main seorang sebaliknya kami serasi dan nak buat sesuatu yang baru.
Selepas Dewan Filharmonik Petronas (DFP), akan terbang ke Bumi Kenyalang untuk konsert Wings One Night Only Live di Kuching, Sarawak. Jangkaan sambutan peminat?
Konsert Wings dapat sambutan, di mana sahaja. Wings diibaratkan khazanah muzik negara. Sampai sekarang masih bertahan. Kalau buat konsert pasti sold out.
Mampukah Wings mempertahankan jualan album tinggi pada masa sekarang?
Zaman sekarang bukan zaman album. Kalau Wings keluarkan (album) saya pasti pembelinya adalah dalam kalangan orang-orang lama atau peminat tegar. Kalau kelompok peminat ini dah tak ada, saya tak menolak album susah nak jual. Budak-budak zaman sekarang tak akan beli. Dulu orang beli CD. Tapi itu zaman itu. Sekarang bukan lagi zaman orang beli muzik.
Pandangan Edrie tentang revolusi muzik masa kini?
Metallica juga alami proses perubahan. Muzik mereka sudah berlainan. Tak ada band atau penyanyi yang akan bawa satu-satu lagu itu seperti yang mereka bawa dahulu. Pasti ada perubahan ikut kematangan. Begitu juga kumpulan-kumpulan lama seperti Wings dan Search. Tetapi, pendengar tak faham perkara ini. Mereka terperangkap dengan apa yang mereka dengar zaman awal dahulu.
Komen Edrie tentang peminat yang tidak ‘membenarkan’ evolusi muzik sesebuah kumpulan rock?
Itu adalah keindahan Rock and Roll. Membuatkan orang bercakap. Mempertahankan citarasa masing-masing. Biarkan mereka bercakap. Cuma sekarang, apa yang mereka perkatakan itu kita baca di media sosial. Itu yang membuatkan kita sakit jiwa. Saya tak baca komen netizen. Tapi tetap ada orang yang menyampaikan. Itulah zaman sekarang.
Ada juga yang mempersoalkan kenapa muzik sesebuah lagu lama itu diubah-ubah. Mereka seakan tidak mahu arrangement bertukar. Komen?
Contoh saya minat Metallica. Saya tak pertikai kenapa muzik mereka sekarang berlainan dengan dulu. Kenapa? Sebab saya faham dan ada ilmu tentang muzik. Tapi dengan kebebasan yang ada di alam maya sekarang, yang kurang pandai ini pun boleh lontarkan komen mereka. Intelek rendah, diam sudahlah. Pendengar sekarang ada dua jenis. Yang bijak dan tidak. Yang bijak akan terus menyokong walaupun hala tuju muzik band tersebut berubah.
Adakah pandangan sedemikian mengganggu?
Pandangan negatif netizen tidak mengganggu pun. Gaji saya bukan mereka yang bayar. Cakaplah apa pun. Tak memberi kesan. Dunia media sosial sekarang ibarat berikan ‘si bodoh pistol’. Dia akan tembak sesuka hati.
Wujud penggiat muzik underground menyifatkan perkembangan muzik Malaysia sebagai stagnant.
Stagnant kerana muzik melalui proses evolusi. Paling kritikal antara 90 an hingga 2000. Habis di situ. Muzik, pada masa sekarang bukan nombor satu dalam kehidupan kita disebabkan kemodenan internet. Zaman Guns N’ Roses dan Metallica, capaian internet tidak meluas seperti sekarang. Manusia, pada zaman itu sangat dahagakan muzik.
Lagu lama disifatkan malar segar dan terus diraikan berbanding lagu baru. Pandangan Edrie tentang ini?
Generasi sekarang, mereka tahu lagu-lagu Wings dan Search. Dibandingkan dengan lagu-lagu sekarang, tak semua orang tahu. Contoh kumpulan Sekumpulan Orang Gila (SOG), mungkin ada yang tahu lagu kemenangan mereka di Anugerah Juara Lagu (AJL36) lalu. Tetapi lagu mereka yang lain? Berapa ramai yang tahu? Kita sudah tak mahu ambil tahu sebab muzik bukan lagi keutamaan. Waktu kegilaan manusia terhadap muzik, bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia, sudah berlalu.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tampil segelintir usahawan yang terjun bidang nyanyian, sedangkan tahu mereka tiada bakat. Ada yang mempersoalkan, mengapa komposer tempatan menerima tawaran membuat lagu untuk mereka? Adakah tindakan itu salah?
Perkara ini di luar kawalan. Mereka ada duit, mereka bayar. Dalam keadaan muzik susah nak jual sekarang ini. Kalau orang itu minta saya buat lagu dengan bayaran lumayan, buat sahajalah. Kalau tolak, macam mana nak hidup? Pemuzik pun nak hidup. Jadi, jangan pertikai kalau ada pemuzik buat lagu untuk bukan penyanyi yang nak menyanyi. Pemuzik juga nak cari makan.