Bukan sebab dibayar harga tinggi – Elly Arifin

Bukan sebab dibayar harga tinggi – Elly Arifin

Elly Arifin
Elly Arifin rindu kerja mengacara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIL mengumumkan dirinya bakal bekerjasama dengan bekas suami, pelakon dan pengacara, Elly Arifin, bagaimanapun tidak menyangka timbul dakwaan liar bahawa dia menerima tawaran tersebut kerana dibayar pada harga yang tinggi.

Menafikan hal tersebut, kata Elly, soal bayaran bukan perkara pokok kerana dia melihat tawaran yang datang merupakan kali pertama seumpamanya.

Jelas pengacara berusia 33 tahun ini, sebelum ini belum pernah ada pihak yang berani mempelawa dirinya bergandingan dengan Jiggy kumpulan Masin kerana ramai berpandangan, dia dan bekas suaminya itu berseteru sehingga tidak mampu menjalin kerjasama sebagai rakan artis.

“Ini bukan soal terima bayaran tinggi atau rendah. Saya terima tawaran untuk mengacara program Muzikal Lawak Superstar 3 Live Plus bersama Jiggy kerana percaya ia merupakan satu pengalaman kerja yang menyeronokkan.

“Tak pernah lagi ada pihak menawarkan peluang ini kepada kami kerana beranggapan setelah bercerai mungkin kami dilihat susah untuk bekerjasama. Perkara itu tidak benar.

“Bukan sebab dapat raih kerjasama dengan Jiggy sahaja, tetapi juga bersama dengan seluruh tenaga pasukan program itu yang rata-ratanya merupakan kawan-kawan lama yang rapat ketika saya berkhidmat sebagai warga kerja Astro sebelum ini,” katanya.

Menurut Elly, ketika tawaran itu datang, sememangnya dia tidak berfikir panjang kerana dalam masa yang sama, merindui peluang untuk menjadi pengacara program semula.

“Terus-terang, kalau saya nak cakap pasal tawaran dan harga, bagi saya, kadar bayaran yang diberikan sangat setimpal dan mengikut jumlah yang saya sudah tetapkan. Ia juga datang pada masa yang sangat sesuai.

“Bagi mereka yang mengikuti perkembangan saya, pasti tahu sekarang fokus saya banyak terarah pada dunia lakonan. Jadi, kadang-kadang terasa rindu juga nak mengacara.

“Saya masih terlibat bersama program Didik TV, tapi secara sambilan sahaja. Jadi, nak cuba juga kembali mengacara untuk program lain. Kebetulan rezeki ini datang, tak salah untuk saya ambil,” katanya.

Masa untuk menyerlah

Lanjut berbicara mengenai kecenderungannya memilih bidang lakonan pada waktu ini, jelas Elly, dia bersyukur kerana rezekinya semakin mencurah dan banyak tawaran lakonan diterimanya kini.

Mengakui seronok meneroka cabang baharu, Elly melihat dunia lakonan sebagai satu ruang untuk dirinya mencabar diri agar tidak mudah berasa selesa di satu takuk yang samaa.

“Memang kelebihan saya adalah pada dunia pengacaraan. Tetapi bagi mereka yang tak tahu, lakonan adalah apa yang saya suka daripada dulu. Tapi rezeki lebih ke arah bidang pengacaraan dan saya jalani sahaja ketentuan takdir itu.

“Kebetulan, saya memang seorang yang suka bercakap. Tapi sekarang saya sudah serius dalam lakonan dan akui seronok. Agak mencabar sebab lakonan membolehkan saya meneroka watak untuk menjadi orang lain, bukan diri sendiri.

“Saya boleh bermain dengan emosi yang pelbagai. Saya suka dengan cabaran ini walaupun sedar, ia bukan mudah. Satu lagi, saya seronok berlakon sebab setiap kali berada di set penggambaran yang berbeza, saya tak berjumpa dengan orang yang sama. Jadi tak bosan,” katanya.

Mengenai dia melihat perkembangan itu sebagai satu perubahan yang membawa kepada peluangnya untuk menyerlah lebih dalam dunia seni, Elly tidak menolak jika ternyata memang benar ada rezeki buatnya dalam cabang seni ini.

“Salah satu sebabnya ialah peluang datang bukan selalu. Saya tidak main-main setiap kali ada peluang yang datang. Kalau ia ter­nyata mem­buat­kan nama saya boleh semakin menyer­lah, mengapa tidak? Ia pun satu rezeki.

“Saya tahu ia tidak akan pernah mudah sebab sebelum ini sudah terbiasa bekerja secara sepenuh masa dan makan gaji. Kali ini saya kena pandai susun strategi dan uruskan kerjaya sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya