Arwah bapa tak suka saya menari - Ahmad Tarmimi Siregar - Utusan Malaysia

Arwah bapa tak suka saya menari – Ahmad Tarmimi Siregar

DATUK Ahmad Tarmimi Siregar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Versatil. Itu satu perkataan yang menggambarkan seorang Datuk Ahmad Tarmimi Siregar. Beliau bukan sahaja pelakon hebat, malah pengacara disegani.

Penglibatan beliau di dalam pementasan teater, drama dan filem bukan sekadar satu persinggahan.

Kesungguhan Ahmad Tarmimi dalam memartabatkan bidang seni tersebut menjadikan beliau seorang tokoh yang cukup dihormati.

Dalam pertemuan singkat baru-baru ini, bapa kepada tiga anak ini berkongsi pelbagai cerita lebih-lebih tentang sejarah penglibatan seninya.

Ahmad Tarmimi memberitahu, minat dalam bidang tersebut wujud sejak beliau dibangku sekolah lagi di mana dia aktif sebagai penari dan pelakon teater.

“Sekitar tahun 1968, 1969 begitu. Saya sangat aktif menari sehingga pergi ke peringkat kebangsaan.

“Pada masa sama, saya sertai kumpulan muzik dan berlakon pementasan. Masuk pertandingan dan sebagainya. Boleh katakan, semuanya bermula ketika bersekolah,” katanya.

Jelas pelakon filem Abang ini, penglibatan dalam dunia tarian pada awal dahulu bukanlah sesuatu disenangi oleh bapanya yang juga seorang guru agama.

Katanya, bapa antara individu yang kurang berkenan melihat anak berkecimpung dalam bidang tersebut.

“Tentangan orang tua itu memang ada. Arwah bapa tak suka saya menari, takut dipandang serong.

“Tetapi, lama kelamaan apabila saya sudah mula berlakon drama dan sebagainya, dia semakin boleh menerima,” jelasnya.

Lantang bersuara

26 tahun figura ini diberi kepercayaan mengacarakan program Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Sepanjang tempoh berkenaan, banyak pengalaman pahit dan manis dilaluinya.

Menceritakan satu kenangan yang paling tidak dapat dilupakan, Ahmad Tarmimi memberitahu pengalaman ditamatkan kontrak sebagai hos rancangan popular itu menjadi antara yang cukup berbekas sepanjang kerjayanya.

Kelantangannya mengupas isu penjualan 15 kapal Malaysia International Shipping Corporation Berhad (MISC) mengakibatkan beliau disingkir serta merta daripada menjadi hos program berkenaan.

“Ada antara kapal-kapal tersebut yang berusia bawah 10 ke 15 tahun. Ia dijual secara tender tertutup dan murah, sekitar AS$700 juta kepada syarikat dari Amerika Syarikat (AS) sekitar awal 2000. Pada saya, ia masih diperlukan dan mungkin boleh ditukar menjadi hospital dan sebagainya. Konsep ini saya rujuk kepada tindakan Aristotle Onassis satu masa dahulu.

“Saya angkat isu penjualan kapal-kapal berkenaan ketika mengacarakan rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) dan bertanyakan tentangnya kepada seorang ahli parlimen yang diundang ke program tersebut pada waktu itu.

“Selepas itu saya terbang ke Cape Town, Afrika Selatan dan berada di sana selama 14 hari. Apabila balik ke tanah air, saya diberitahu kontrak pengacaraan saya bersama SPM ditamatkan,” ceritanya.

Kata Ahmad Tarmimi, beliau kecewa dengan penyingkiran tersebut. Kerana, SPM adalah program sebati dengan dirinya dan menjadi platform buat orang sepertinya yang suka berkongsi pandangan.
“Saya kecewa kerana saya suka bercakap. Program bual bicara itu menjadi medium untuk saya melontarkan pandangan dan idea. Itu menyeronokkan pada saya.

“Saya buat bukan kerana duit. Ketika itu dibayar murah sahaja, RM120 untuk satu episod. Namun jumlah tersebut, cukup untuk menampung tambang pesawat pergi dan balik, Pulau Pinang ke Kuala Lumpur,” katanya yang pada masa itu penuntut Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Terlelap ketika bersiaran langsung

Disoal tentang pengalaman melucukan, Ahmad Tarmimi berkongsi kisah menarik ketika masih menjadi pengacara SPM. Katanya, pernah beberapa kali terlewat hadir ke studio untuk mengacarakan program berkenaan.

“Beberapa kali juga. Saya terjaga dari tidur. Buka televisyen, program sudah bermula. Padahal waktu itu saya masih di rumah. Penerbit pula yang menggantikan saya sebagai hos,” katanya.

Bercerita lanjut, Ahmad Tarmimi juga memberitahu dirinya juga pernah beberapa kali terlelap sewaktu bersiaran langsung mengendalikan rancangan itu.

“Pada malam sebelumnya, saya bersiaran langsung di rumah Menteri Besar Selangor ke-11, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib. Kami selesai sekitar tengah malam.

“Keesokan paginya, saya bersiaran langsung seawal pukul 6 pagi. Kerana terlalu mengantuk, ketika mengendalikan SPM, saya terlelap beberapa kali, dalam seminit dua.

“Bila terjaga, saya melihat arwah isteri, Zuhaila Siregar Sulaiman memberi isyarat agar saya tidak terlelap lagi,” katanya tertawa.

New York dan Dr. Mahathir Mohamad

Pada 1996, Ahmad Tarmimi terbang ke New York untuk mengikuti program pertukaran selama satu tahun di sana. Pengalaman itu amat berharga dan menyeronokkan.

“Setiap hari, aktiviti saya tengok pementasan, teater dan hadir seminar. Saya diberi elaun dari kerajaan AS sebanyak RM4,600 sebulan. Namun selepas tiga bulan, saya jatuh sakit. Tak boleh bangun, tak dapat hadir program terpaksa pulang ke tanah air lebih awal,” katanya.

Berkongsi lanjut, Ahmad Tarmimi berkata, dia berbangga kerana Malaysia terkenal di mata dunia kerana adanya pemimpin disegani seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Masa itu, Malaysia sinonim dengan nama Dr. Mahathir. Mereka puji. Tun dianggap tokoh Asia selepas bekas Presiden Indonesia, Sukarno,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya