Susah menjadi pelakon yang tidak ‘kayu’ - Utusan Malaysia

Susah menjadi pelakon yang tidak ‘kayu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Biarpun semakin membiasakan diri dengan dunia lakonan, Ali Karimi Abdul Rahman akui cabaran terbesarnya adalah untuk menjadi pelakon yang tidak nampak ‘kayu’.

“Bagi mengasah bakat lakonan, saya ada membuat beberapa latihan lakonan. Sejujurnya, memang sukar untuk saya menguasai dan menyampaikan watak-watak yang dibawa dengan baik.

“Namun, saya nekad terus berlatih dan mengasah bakat ini. Saya telah menyertai beberapa kelas lakonan dengan pelakon-pelakon berpengalaman dan mendapatkan nasihat daripada mereka.

“Mereka banyak bagi tips untuk elak nampak kaku dan cara menghayati watak dengan betul,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Ali mem­beritahu, sebagai seorang yang sukakan cabaran, dia tidak berasa berat untuk meluangkan masa dan memperbaiki diri.

Malah, dia menganggap mempelajari sesuatu yang baharu sebagai satu pengalaman manis kerana dapat berjumpa dan berkenalan dengan ramai orang dalam industri filem.

“Filem Mat Kilau adalah filem pertama saya yang akan ditayangkan di pawagam pada 23 Jun ini.

“Sebelum ini, saya pernah terlibat dengan dokumentari drama berjudul Kampung Budu. Selain berlakon, saya turut meminati bidang pengarahan dan penerbitan.

“Saya bercita-cita untuk terus menceburi bidang perfileman dan drama bagi mengeluarkan hasil yang dapat meningkatkan jati diri, membuktikan cinta kepada tanah air dan sejarah,” jelasnya.

Bercakap mengenai filem pertamanya itu, Ali berkata, ia menceritakan tentang kebangkitan tokoh pahlawan negara iaitu Mat Kilau bersama rakan-rakannya di Pahang.

“Saya membawa watak Brahim yang merupakan adik kepada Mat Kilau. Brahim ialah adik yang sentiasa berjuang bersama abangnya dalam perjuangan menentang penjajah British.

“Dia orang kanan Mat Kilau kerana merupakan seorang pejuang yang berani dan sentiasa berada di sisi abangnya. Macam darah muda yang sentiasa bersedia untuk melawan musuh,” katanya.

Filem arahan Syamsul Yusof yang diterbitkan oleh Studio Kembara itu membentangkan sejarah penting dalam filem biografi epik, Mat Kilau.

Latar perjuangan Mat Kilau disifatkan amat berharga bukan sekadar untuk mencetak rekod di dunia hiburan, tetapi juga mahu berkongsi kehebatan dan jati diri pahlawan dalam menyelamatkan negara kepada generasi masa kini.

Datuk Adi Putra diberi tanggungjawab menghidupkan darah pahlawan Imam Rasu yang mengalir dalam diri Mat Kilau. Dia turut dibantu barisan pelakon hebat seperti Wan Hanafi Su sebagai Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin) dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Trailer filem itu akan disiarkan 16 Jun ini untuk tontonan ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya