AGAK lama tidak hadir dengan sebarang naskhah baharu, penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir tampil menghadiahkan peminat dan pendengar dengan sebuah lagu berjudul Alah Bisa.
Tak berseorangan, lagu tersebut juga diwarnakan lagi dengan suntikan duet bersama penyanyi, Amira Othman sekali gus menyaksikan ia adalah kerjasama pertama mereka seumpamanya.
Malah, bagi mereka yang mengikuti perjalanan kerjaya seni Faizal, Alah Bisa mungkin dilihat sebagai satu buah tangan yang berbeza daripadanya memandangkan kali ini, dia selesa menghasilkan karya berentak rakyat, bernuansa nusantara.
Kata lelaki berusia 43 tahun ini, di usia begini, dia mula terfikir, seharusnya lagu-lagu genre nusantara terus diangkat dan tidak ditolak ke tepi, bimbang pelapis dan pendengar generasi baru terlupa betapa ‘mahalnya’ karya seperti ini.
“Saya ini bukan dalam kategori pencetus pun, tetapi jika ada yang berasakan ini boleh jadi inspirasi pada mana-mana penulis lagu lain terutama yang baru-baru dalam industri, ya apa salahnya.
“Kita tidak harus menolak ke tepi unsur lagu rakyat dalam penciptaan lagu. Ini saya cerita daripada pengalaman sendiri.Sekitar 16 tahun lepas saya pun banyak buat lagu dengan menginspirasikan karya barat. Tapi makin lama, kita nak akan keunikan Melayu itu. Benda ini tak ada pada negara lain.
“Sebab itulah kalau tengok pada muzik dalam industri K-Pop, mereka boleh naik sebab mereka fokus pada kekayaan lagu sendiri,”katanya.
Bagaimanapun, kata Faizal, ini bukan bermaksud tidak boleh langsung berkarya dengan muzik ala barat. Tetapi, baginya, lebih baik kembali ke akar umbi kerana baginya, ada sesuatu yang istimewa pada lagu genre nusantara itu sendiri.
Akui suatu masa pernah hanyut
Mengulas lanjut mengenai Alah Bisa yang disuntik dengan elemen nasihat, Faizal mengaku, sememangnya itu adalah antara tujuan utama dia menghasilkan lagu tersebut.
Menitip pesanan agar setiap daripada individu Muslim supaya menjaga solat, penyanyi ini percaya bahawa kejayaan seseorang manusia itu dapat dilihat menerusi bagaimana dia menjaga solatnya.
“Macam kita sentiasa dengar, orang kata, nak berjaya, kenalah jaga solat. Itu sangat benar.
Intipati lagu ini memang asasnya adalah saya nak beritahu perkara itu. Jagalah solat.
“Ia bukan satu lagu berbentuk dakwah pun. Tapi kalau ada yang fikir begitu pun tak ada masalah. Saya tak nak guna perkataan dakwah sebab ia terlalu besar. Terus-terang saya mahu peminat sendiri yang hadam dan menilai.
“Bagi saya, kalau ada mesej yang baik dan dapat memberikan impak yang positif, itu sudah sangat Alhamdulillah,” katanya.
Tambah Faizal, selain itu, pesanan agar usah berlaku sombong juga dititipkan buat pendengar.
Namun, ia tidak bermakna tujuannya cuma ingin ‘membasuh’ minda pendengar semata-mata.
“Sebenarnya, dalam masa yang sama, saya ini sedang menasihatkan diri sendiri. Mungkin dengar macam saya nak sindir atau tegur orang lain, tapi sebenarnya saya tegur diri sendiri. Sekali lagi saya cakap atas pengalaman. Dulu, semua orang tahu saya pernah melalui zaman berada di puncak. Saya akui, ketika itu tak sedar pun akan kesalahan sendiri. Kita rasa ego dan besar.
“Kita rasa kita tak sombong, tapi sebenarnya kita sedang sombong. Dulu saya pun tunggang terbalik, hanyut. Sekarang ini, macam tak masuk akal kalau saya sibuk nak tegur orang lain tapi diri sendiri tak betul.
“Jadi, teguran ini adalah untuk sama-sama kita semua perbaiki diri. Kalau ia mengesankan di hati dan beri impak baik, macam saya katakan tadi, syukur Alhamdulillah. Saya pun nak pesan pada orang menerusi lagu ini, agar janganlah jadi macam saya yang dulu,”katanya.