KUALA LUMPUR: Penerbit filem, Datuk Ayu Puteh mengesahkan kes saman yang difailkan terhadap sebuah platform jualan e-dagang sekitar dua tahun lalu masih diteruskan.
Kata pemilik nama sebenar Normashayu Puteh itu berkata, hakim memandang serius isu tersebut dan mengarahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Dagang.
“Persediaan untuk kita lawan sudah dibuat. Peguam beri jaminan dokumen dan juga bukti, semua lengkap.
“Jadi jangan cakap aku tak boleh saman juta-juta. Engkau dah ambil hak orang, tak sedikit pun minta maaf.
“Bukti semua sudah ada. proses mahkamah mungkin tak lama. Hampir dua tahun saya tunggu, masih lagi bersabar. Saya lawan, sampai dapat hak saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ayu dua tahun lalu memfailkan saman terhadap sebuah platform jualan dalam talian kerana menjual filem Ada Apa Dengan Dosa dengan RM1.
Dalam pada itu Ayu menegaskan beliau akan terus berjuang dalam menangani isu cetak rompak yang semakin membarah pada masa kini.
Katanya, sebagai Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Filem, dia tidak boleh membiarkan jenayah tersebut terus ‘membunuh’.
“Di belakang saya, ramai lagi penerbit-penerbit (filem) yang cintakan industri, bergolok gadai cari duit untuk buat filem, hasilkan content untuk hiburkan masyarakat.
“Kalau saya buat bodoh isu cetak rompak maknanya saya khianati industri filem kita.
“Jadi saya tidak akan ‘duduk diam’ meskipun ada yang mengkritik, menasihatkan saya jangan terlalu lantang menyuarakan isu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.