PERCAYA naik secara lambat dengan cara telus dalam industri perniagaan fesyen menjadi asbab syarikat dapat bertahan lama sehingga 10 tahun.
Biarpun rakan seperjuangan lain menempa jenama masing-masing lebih awal dan terkenal, sebaliknya Pengarah Zefiks Resources Sdn. Bhd., Nik Afik Nik Ibrahim, 36, selesa merangkak-rangkak menaikkan perniagaan bagi mengumpul pengalaman.
“Kekal 10 tahun dalam industri bukanlah suatu hal mudah. Kami tidak menggunakan free marketing. Kami naik dengan cara tersendiri. Di Zefiks kami hanya tumpukan pada design. Keunikan pada design itulah yang menarik pelanggan dan orang luar, sebab itu kami boleh bertahan.
“Sehingga kini kami tumpukan pada rekaan yang cantik dan eksklusif supaya orang beli. Malah ia akan pergi daripada mulut ke mulut. Sebab itu Zefiks lambat dikenali. 10 tahun baharulah kami ada semua ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kongsi Nik Afik, biarpun ramai pengasas memilih untuk cepat naik dan dikenali dengan cara free marketing namun dia tidak menyalahkan strategi itu kerana masing-masing mempunyai alasan tersendiri.
“Free marketing ni bermusim. Ada baik dan buruknya. Namun sampai bila kita nak cetuskan kontroversi untuk maintain. Sedangkan suatu masa nanti kita akan jatuh juga. Paling penting kita yakin produk kita buat orang suka supaya pelanggan akan terus beli dan repeat tanpa ada kontroversi.
“Namun tidak dinafikan, tanpa marketing sebegitu, jenama atau suatu perniagaan lambat dikenali. Tetapi kalau cepat naik, senang jatuh sebab tiada pengalaman, tidak tahu selok-belok perniagaan sebab pentingkan free marketing dan kontroversi untuk dikenali. Kontroversi pun andai kata kita dapat capai target, next month kita akan fikir sesuatu yang lain pula untuk seterusnya.
Begitulah tanpa kesudahan,” katanya.
KELUAR DARIPADA MASALAH KEWANGAN
Bercerita mengenai pembabitan dalam industri perniagaan fesyen, kongsi Nik Afik, ia bermula pada 2012 kerana masalah kewangan yang dihadapinya ketika bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta.
Dibantu rakan kenalan yang bekerja sebagai jurutera ketika itu dan kini isteri, Penolong Pengarah Zefiks Resources Sdn. Bhd., Syarifah Nur Zati Abd. Rashid untuk menjadi model.
“Saya banyak meminjam duit untuk selesaikan masalah kewangan. Itu yang timbul idea nak berniaga sebab saya fikir sampai bila nak meminjam tanpa buat dua kerja. Jadi, saya bermula dengan berniaga pakaian wanita sungguhpun tiada bajet ketika itu. Ada juga saya ambil baju di pasar borong dan minta rakan (kini isteri) untuk menjadi model kerana dia pandai bergaya. Saya pula jadi jurugambar photoshoot menggunakan telefon sahaja.
“Kami berdua jual secara dalam talian dan sertai booth jualan ketika itu. Jual jubah dan maxi dress di universiti. Memang penat sebab perlu bersengkang mata untuk berniaga dalam masa sama bekerja.
“Saya pula bekerja mengikut syif, jadi jika bekerja siang maka waktu malam saya akan uruskan perniagaan hingga ke pagi, bergilir-gilir bersama isteri,” katanya jenama Zefiks hasil gabungan nama beliau dan isteri.
PERNAH TINGGAL DALAM STOR
Selepas dua tahun berhempas pulas, Nik Afik yang berasal dari Kelantan ini tidak menyangka perniagaan mereka semakin mendapat sambutan dan membuat keputusan untuk membuka butik kecil di Padang Jawa, Shah Alam, Selangor pada 2014.
“Saya jaga sendiri butik ketika itu dan membuat keputusan untuk berhenti kerja. Jadi, kehidupan saya bermula di sini. Saya tinggal dan tidur dalam stor. Siang jaga butik, malam pula packing parcel dan membalas pertanyaan pelanggan di WhatsApp.
“Kami juga selalu ke Jakarta, Indonesia untuk mencari fabrik. Ketika itu hanya membuat pre-order dan menghantar tempahan kepada tukang jahit. Kemudian kami mula mengambil seorang staf untuk membantu di butik,” katanya yang tidak pernah mengenal erti penat, putus asa sebaliknya memberi fokus 100 peratus terhadap perniagaan yang dibangunkannya.
SEMAKIN BERSINAR
Kesabaran dan kerja keras Nik Afik membuahkan hasil. Usaha beliau berterusan apabila kejayaan demi kejayaan ditempuhi setiap tahun dan mengorak langkah seterusnya membuka butik di Bangi Gateway pada 2015, memiliki gudang pertama pada 2016 dan kini mempunyai production sendiri.
“Sebelum ini semua kerja saya buat sendiri daripada segi design fabrik dan lain-lain. Apabila tidak sempat, baharulah saya ambil pekerja grafik dan pengurusan, secara berkala, sedikit demi sedikit untuk menampung kerja. Pada 2016, kami membeli mesin dan mula print sendiri. Ketika itu saya sudah memiliki 30 staf untuk beberapa tahun di kilang.
“Kemudian pada 2018 hingga 2020 saya buat keputusan untuk ada production sendiri. Kami berpindah ke kilang yang lebih besar untuk menempatkan tambahan mesin. Alhamdulillah kini kami mempunyai kilang seluas 50,000 kaki persegi yang mana menempatkan 14 buah mesin print, raw material, pejabat dan production team. “Insya-Allah mesin juga akan bertambah lagi untuk menyokong tempahan yang semakin meningkat dari semasa ke semasa. Kami juga mewujudkan ‘The Zefiks’ yang mana ia untuk membuka peluang kepada peniaga-peniaga yang ingin custom print kain atau tudung dengan kami,” katanya kini memiliki 65 kakitangan berusia bawah 30 tahun demi idea baharu dan segar.
Mengenang kesusahan dahulu, Nik Afik bagaikan masih tidak percaya dengan apa yang dimiliki pada hari ini, jika dulu untuk mendapatkan pelanggan begitu sukar namun kini jualan perniagaannya mencecah RM3 juta setiap bulan lebih-lebih lagi pada musim perayaan.
“Perniagaan kami naik daripada kecil tanpa kami ada apa-apa, daripada orang tidak kenal jenama kami. Tambahan, saya bukan instafamous. Kami hanya tumpukan kepada produk dan jualan. Saya bersyukur jualan juga semakin memberangsangkan terutama apabila menjelang musim perayaan mencecah kira-kira RM3 juta sebulan dan RM600,000 sebulan untuk bulan biasa.
“Dulu, rolling duit pun daripada pre order. Merangkak-rangkak sehingga hari ini sudah 10 tahun dalam industri. Daripada butik separuh, kini mampu buka butik di Alamanda, Putrajaya dan memiliki kilang sendiri. Saya percaya rezeki setiap orang pasti ada jika berusaha keras,” katanya yang tiada perancangan kembangkan perniagaan ke negara jiran kerana percaya peluang di Malaysia lebih luas dan masih belum diterokai sepenuhnya.